MESTI KLIK

MESIN TEKAN CRUST TART

MESIN TEKAN CRUST TART
PEMBERITAHUAN : Sebarang pertanyaan atau tempahan mesin tart dan sebagainya hendaklah diajukan melalui sms dan whatsapp sahaja ke talian 0127844524. Terima kasih.

Wednesday, July 16, 2014

HAPPY BIRTHDAY, CIKWA!

ASSALAMUALAIKUM...


DULUUUU.. Sk ingatkan Sk anak bongsu. Rupa-rupanya ketika Sk berusia lima tahun, Sk dikurniakan seorang adik perempuan yang sangat cengeng comel yang dipanggil Azwa. Semalam, Azwa menyambut hari lahirnya yang ke 34. Sk doakan semoga Azwa dipanjangkan umur, diberikan kesihatan yang baik serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Terlanjur Azwa atau CikWa berada di JB kami buatlah 'surprise' untuk dia. Sk memang tak sempat buat kek, sempat buat di kedai sahaja. Kek Mangga menjadi pilihan.


Dulu-dulu, Sk lah yang selalu disuruh menjaga Azwa bila ibu sibuk di dapur. Kakak Sk pulak rajin tolong ibu di dapur. Jadi Sk lah yang selalu kena jaga adik. Sk ingat lagi, setiap kali Azwa nak tidur, Sk suka menyanyi untuk Azwa. Lagu yang paling kerap Sk nyanyikan berulang-ulang adalah lagu 'Kau Lupa Janji' nyanyian asal Jamal Abdillah. Poyo sungguhlaaa budak tecik umur lima tahun nyanyi lagu Jamal untuk tidurkan adik, kah kah kah.


Biasalah adik beradik, kalau tak bergaduh bukan namanya adik beradik, kan... hahaha. Tapi bila dah tua besar ni selalu teringat zaman kecik-kecik dulu. Zaman kami hidup sebagai satu keluarga. Ada abah, ibu, Along, Angah, Sk, Azwa dan Aini. Zaman berubah.. kehidupan berubah. Masa sudah terlalu jauh rupanya meninggalkan kami. Namun kenangan tak mungkin akan terhapus. Bila berkumpul ada sahaja cerita kisah dulu-dulu.

lakonan semula...
Setiap kali sambut hari jadi sesiapapun dan ada Azwa, mesti akan timbul semula kisah Azwa tertelan buah ceri semasa hari jadi Angah. Budak lagi masa tu. Bila tengok buah ceri merah-merah terpacak atas kek cepat-cepat ambil takut tak dapat. Sedang jilat-jilat buah ceri entah macam mana bolehlah pulak termasuk dalam mulut dan tertelan. Terus terbekik kat situ. Nasib baik ada Angah nampak. Bulat mata tertelan buah ceri katanya. Mujur tak tumbuh pokok ceri dalam perut kau CikWa.. kakakaka.

BERBUKA SEORANG... DIARI 16 RAMADHAN

ASSALAMUALAIKUM...

ER... ada majlis berbuka bersama Pelancongan Johor.

IMAN... ikut CikWa berjalan.. berbuka di rumah nenek.

SK... perlu menyiapkan tempahan yang dah tertangguh berhari-hari. Tak sanggup rasanya nak bertangguh lagi. Orang tua kata, 'Kerja beransur tak bertahan, kerja bertangguh tak menjadi'. Jadi, lepas habis kerja Sk singgah ke bakery membeli cream cheese yang kehabisan stok. Kemudian hantar whatsapp pada ER suruh ambil Iman di rumah nenek (Angah) lepas majlis berbuka.

Berbuka seorang, Sk masak air dalam periuk kecil untuk buat teh panas. Ambil kotak kurma. Letak dua tiga hirisan kek dalam piring dan ambil tipuware berisi cheese tart bawa depan tv. Sambil tunggu azan maghrib berkumandang, Sk layan episod akhir 'Kerana Terpaksa Aku Relakan'. Hihihi.. kesian Sk, dah episod akhir baru layannnn. Tapi tahulah jugak kisahnya, tak payah tengok tv, baca jer status dan komen kawan-kawan di fb :p

Sebenarnya.. pagi sebelum pergi ke pejabat Sk dah merendam ketam yang beku dalam peti ais. Cadangnya balik nak masak Ketam Lemak Cili Padi. Dah petang tu barulah ER beritahu tentang majlis berbuka tu. SK tanya, ketam yang dah direndam tu takkan nak masuk balik dalam peti ais. ER kata, masak jer untuk Sk berbuka. Nanti boleh makan juga untuk bersahur.

Lepas maghrib, hati berbolak balik...

Nak masak ke tak...

Nak masak ke tak...

Urmmm... malaslah. Masak besok pagi sebelum sahur aje.

Errrr.. sempat ke masak ketam waktu sahur??

Alaaa.. sempat jer..

Tengok tu.. punyalah malas nak masak. Sudahnya memang Sk tak makan apa yang berat pun waktu berbuka tu selain kek dan cheese tart lima ketul.. hehehe.

Heiyaaaaa!! Sk belum timbang berat lagi tapi memang ketara agak longgarlah baju-baju kurung Sk yang ketat terutama di bahagian lengan tu. Kali ni memang Sk kuatkan semangat tak mahu lagi jadi tong sampah macam tahun-tahun lepas. Nasi pun cuma ambil sekali sekala sahaja itupun hujung senduk. Berazam untuk kurangkan minuman yang manis pulak sebab gula pun sebenarnya penyumbang ke arah kenaikan berat badan jugakkan. Semoga misi cantas lemak Sk berjaya, Aamiiiinnnn.

tempahan tart dari blogger lensa ajaib Gadis Bunga
thnx GB.. tembakan GB.. awesome!!


JANJI ILHAM

ASSALAMUALAIKUM...

POMP!!!

Terkejut beruk semua yang sedang syok menonton tv di ruang tamu. Ilham nampaknya yang paling teruja mendengar bunyi mercun. Rasa macam nak melompat keluar rumah. Pakkal ada ibu sama-sama duduk di situ.

"Ilham, jangan nak pandai-pandai keluar tengok orang main mercun eh? Kalau putus jari ibu tak tengok Ilham dekat hospital," Angah memberi amaran kepada Ilham. Anak kedua dari tiga beradik ni memang lain sikit. Terlalu berani dan mudah berkawan. Tak macam abangnya yang lebih suka menonton tv atau video dari tabletnya.

"Ilham, ibu nak pergi Pasar Ramadhan dengan Cik Wa ngan Che Li. Ilham jangan keluar rumah. Orang semua main mercun kat luar tu," lagi sekali Angah mengingatkan Ilham. Macam tak percaya nak meninggalkan dia di rumah. Tapi abah, nenek dan Cik Ani ada. Bolehlah tengok-tengokkan perangai Ilham.

Sebaik sahaja hilang kereta ibu dari pandangan, Ilham terus menyusup keluar. Kawan-kawannya mengajak bermain mercun di padang permainan tidak jauh dari rumah. Termengah-mengah Ilham mengekori kawan-kawan mendaki jalan yang agak berbukit. Ada kawan yang berbasikal dan ada yang berlari. Ilham turut berlari sama.

"Okey, kau pegang ni, aku bakar," kata kawan Ilham sambil menghulurkan mercun mancis.

Ilham berdebar. Biasa dia hanya bermain bunga api. 'Ah, aku kan anak lelaki, kenalah berani,' kata hati Ilham.

Sebaik sahaja kawannya menghulurkan api dari 'lighter' ke mercun yang dipegang Ilham, tidak sampai satu saat mercun itu meletup. Ilham menggeletar. Seluruh tangannya berasa kebas. Kawan-kawannya lari bertempiaran. Hilang sekelip mata. Mujur ada seorang yang menunggu.

"Astaghfirullah... Astaghfirullah.. Allah.. Allahhh..," Hujung jarinya seakan berasap. Kawan yang menunggu tadi menawarkan Ilham memboncengnya dengan basikal balik ke rumah.

"Biar aku bawa, aku bawa laju," Dalam sakit-sakit Ilham tak percaya keupayaan kawannya yang bertubuh kecil itu. Ilham besar dua kali ganda, larat ke dia nak bonceng Ilham???

Basikal di kayuh menuruni bukit dan simpang dengan laju. Tangan kanan memegang 'handle' basikal manakala tangan kiri digunakan untuk menahan 'handle' basikal di sebelah kiri. Sampai depan pagar, Ilham terus terjun dari basikal tanpa menghiraukan kawannya yang terjatuh di belakang. Dia terus berlari ke dapur mencari nenek.

"Allah.. Allah... Astaghfirullah... Astaghfirullah...," tak putus-putus kalimah itu terkeluar dari bibirnya. Ilham teringat pesan ibu. Ilham teringat gambar-gambar dari suratkhabar Harian Metro yang selalu nenek baca dan tunjuk, 'tengok ni Ilhammmm, orang main mercun.. apa jadik..' Ilham rasa menyesal.

"Astaghfirullah.. Allahhh.. Allahhh...," Ilham hanya mampu beristighfar di depan nenek yang baru siap membasuh sayur. Tiada perkataan lain yang mampu diluahkan. Seluruh badannnya menggigil antara menahan sakit dan ketakutan.

Nenek menoleh. Berderau darah nenek. Tak perlu diterangkan pun nenek dah tahu tangan cucu disambar mercun. Luruh hati nenek. Nenek terus menangis.

"Kenapa kau pergi main mercunnnnn?? Kan tadi mak engkau tak bagi keluar. Nenek dengar kau senyap, nenek ingat kau ikut ibu. Kau pergi ikut kawan main mercun kenapa???"

Cik Ani yang kurang sihat terus berdiri tegak. Abah yang sedang tidur berlari turun tangga. nasib abah ada di rumah. Tidak tentu arah abah bawa kereta melihat keadaan Ilham.

Sampai di klinik, bantuan kecemasan terus diberi. Doktor cepat-cepat menyapu ubat yang diambil dari peti sejuk. Ilham rasa nak meraung kesakitan.

"Kuku-kuku ni dah mati. Nanti ia akan tercabut sendiri," kata doktor. Cuti sakit dua hari diberi. Abah lega.

Terkejut ibu terima 'whatsapp' dari Cik Ani.

"Cepat balik, ada surprise"

"Ilham kena mercun" Cik Ani terus terang.

Sebaik ibu masuk rumah, berbilai Ilham kena rotan. Dahlah tangan sakit, kena rotan lagi. Inilah akibat tak dengar cakap ibu.

Kata bonda," Ilham, nasib baik ibu tu doa banyak-banyak sebelum tinggalkan Ilham. Kalau tak, tak tahulah apa nasib Ilham.


Semoga Ilham tunaikan janji untuk tidak main mercun lagi.

PASAR RAMADHAN PERLING... DIARI RAMADHAN 15

ASSALAMUALAIKUM...

WARGA KL bercuti semalam, kan sempena Nuzul Al-Quran. Adik Sk, Azwa yang di KL tu pun balik bercuti.. hari Isnin dia ambil cuti ganti maknanya panjanglah pulak bercuti. Ramadhan 15, ER menghadiri majlis berbuka puasa di luar jadi Sk ambil kesempatan ini untuk berbuka bersama adik-beradik dan anak-anak saudara. Ibu kata, ibu nak masak singgang ikan parang. Nyummm.. jomlah kita ke Pasar Ramadhan Perling yang 'happening' itew!

Kali ini kami banyak membeli kuih-muih. Yang kelakarnya, kebanyakannya berasaskan pulut. Kata kakak Sk, patutlah asyik sakit badan jer, suka makan pulut. Kakak Sk bagitahu lagi, pulut ni kadang susah nak bagi masak dengan sempurna sebab itu kadang ada setengah orang kalah dengan pulut.

Kami beli..

Pulut Panggang
Pulut Serunding
dan lopes.. hehe..
Satu lagi.. ketupat pulut aka ketupat palas.. urmmm..

Kuih Cara Berlauk
Karipap Sardin
Kuih Kaswi.. mak aihhh!

Lepas tu sebab Iman tak berapa nak makan singgang, Sk tapaukan dia Ayam Masak Kari. Dah malam tu baru Iman cerita, ayam tu rasanya macam hati. Hancur. "laaaaaaaa.. kenapa tak cakap dengan bonda?" "Tak terkeluar nak cakap," kata Iman. Tapi masa Sk cicah ketupat palas dengan kuah kari tu rasa sedap jer, sebab kuahnya pekat. Nasib Iman tak sakit perut.

Meniaga... mesti mahu untung. Kalau rugi buat apa meniaga, ya tak? Sedih betul bila kuih lopes yang dibeli Azwa tawar hebey. Kelapa tak bergaram dan air gulanya tu tawar betul.. sampai kembang rasa tekak nak telan. Karipap sardin tu pulak yang banyak cuma bawang, sardinnya cuma dicalit-calit sahaja. Aishhh! Sampai hati betul orang yang meniaga macam nikan. Sebagai seorang yang 'bisnes' kuih, Sk tahu tak mungkin tak untung kalau kita masak dengan sempurna. Ni mesti sebab nak untung besar. Kalau rasa untung sikit dan tamak pulak, baik tak payah meniaga. Kami yang dapat dosa percuma sebab mengutuk anda.. huhu. Kuih Cara Berlauk tu, Alhamdulillah.. sedap, intinya pun banyak. Kuih Kaswi pun okey jugaklah. Pulut Serunding nyummm.. Pulut panggang ada yang inti banyak, ada yang sikit, ada yang tak ada... apa cerita???

Tuesday, July 15, 2014

PONTIANAK HAND MADE SHOES

ASSALAMUALAIKUM...

DAH beli kasut raya? Seingat Sk masa kecil-kecil dulu waktu yang paling dinanti-nantikan adalah bila nak pergi beli kasut raya. Sebab baju raya kami adik beradik dijahit sendiri oleh ibu. Jadi, memang dah nampaklah depan mata baju raya boria tu, hihihi. Kenapa boria? Sebab kami adik beradik mesti pakai sedondon. Memang dah menjadi 'trend' orang Johor, gitewww.

Biasanya abah membawa kami membeli kasut raya di saat akhir. Petang raya atau malam raya barulah dapat beli kasut baru. Maklumlah, kami bukannya orang senang, kan. jadi kenalah dulukan yang penting-penting dulu. Bila dah beli akhir waktu tu memang jaranglah nak jumpa kasut idaman. Kebanyakan kasut yang cantik dah tak ada saiz kami, hihi. Tapi Sk masih nasib baik lagilah, kaki Sk ni jenis halus runcing jadi masih senang dapat kasut-kasut stail Cinderella :))))

Bila dah balik rumah, wahhhh.. masing-masing sibuk berjalan kucing dengan kasut baru. Dari depan pintu sampai tengah rumah. keletak.. keletuk.. keletak.. keletuk. Kakak Sk lagi kelakar, siap pakai baju raya sekali. Penat 'cat walk' tertidur atas kerusi sampai pagi dengan baju dan kasut raya sekali, hihihi.

Bila meningkat remaja, dah mula bekerja, tak payah tunggu hari raya untuk beli kasut. Peliknya dulu-dulu walaupun pergi kerja atau berjalan cuma naik turun bas, bolehlah pulak pakai kasut tinggi 3". Tumit runcing yang kalau baling anjing memang anjing mati.. hihi. Sekarang ni, walaupun naik kereta dari depan pintu pagar rumah sampai turun kereta dah jumpa tangga pejabat dah tak larat lagi pakai kasut tinggi. Sk lebih senang guna kasut bertutup yang bertapak rata. Kaki Sk ni jenis tak sesuai pakai jenis terbuka almaklumlah, jari jejari runcing.. huhu. Ya, kaki Sk memang macam dah tak padan dengan badan. Sebab tu kalau bangun pagi rasa sengal dah tumit ni tak larat menampung badan, adeh!


Oh, ya! Ini adalah kasut buatan tangan (ada ke kasut buat dengan kaki???) yang dibelikan ER semasa lawatan media ke Pontianak, Indonesia baru-baru ini. Kalau nak tahu, Indonesia adalah sebuah negara yang agak kreatif dalam industri kasut. Setiap kali ke mana-mana destinasi Indonesia, adalah wajib bagi Sk membeli kasut, hihi. Awal-awal lagi Sk dah pesan dengan ER supaya belikan Sk kasut. Jadi, inilah kasut raya Sk tahun ni, kasut buatan tangan dari Pontianak. Bukan pontianak yang buat tau! Kalau Cik Pon yang buat, tak rela Sk pakai, huhuhu.


Terima kasih pakcik, muahhhhhh!!

MELETOP STEAMBOAT & GRILL... DIARI RAMADHAN 14

ASSALAMUALAIKUM...

DALAM pada cakap tak kisah.. tak kisah... apa yang bonda masak, Iman makan jer... rupanya anaknda Iman Fatiha tidak puas hati bila babahnya asyik ada acara berbuka puasa bersama syarikat-syarikat korporat.

"Habis tu, bila babah nak ajak Yaya buka kat luar? Yaya pun nak jugak," komplen Iman.

"Babah tahu tak, babah tak ada Yaya asyik makan lauk yang samaaaa jer," Adu Iman bila babahnya mengambil balik dari sekolah.

"Amboiiiii.. bukan main lagi ya," panjang pulak 'amboi' Sk bila ER bercerita pada Sk. "Padahal dia jugak yang kata 'tak kisah..' rupanya kisah jugak ya.

Jadi, marilah kita makan di luar. Sk ni bukan apa, Sk cukup tak gemar suasana berebut-rebut kalau berbuka di luar. Datang lambat tak ada tempat. Datang awal melanguk menunggu waktu berbuka. Lebih selesa berbuka di rumah boleh pakai baju kelawar. Tak pakai bedak pun tak apa, hehehehe.

Disebabkan dah beberapa kali Iman menyebut, 'Dah lama tak makan kat Seoul Garden...' Nanti beberapa lama kemudian dok mengulang ayat yang sama, jadi pada Sabtu lepas, selepas menghantar Iman ke kelas tuisyen Sk pun bercadang untuk membuat tempahan awal. Rupanya tak boleh ya. Hari Sabtu dan Ahad memang tidak dibenarkan untuk tempahan.

"Tak ramai ke nanti waktu berbuka?" tanya Sk dengan staf Seoul Garden tu.

"Susah nak cakap kak. Kalau akak nak, akak datanglah pukul 6.30," cadangnya.

Dan.. bila Sk sampai dalam pukul 6 tu.. mak aihhh! Yang beratur di luar dah panjang, yang tengah makan di dalam tu entah bila nak selesai. Kononnya nak bertabahlah beratur, sekali Iman cakap nanti entah-entah dah berbuka pun kita tak dapat masuk. Jadi, jomlah kita ke tempat lain.

Ingat tak Sk pernah cerita tentang Steamboat & Grill yang berhampiran rumah Sk tu. Jadi, jomlah kita ke sana. Iman, jangan banyak cekadak, okey!

Dengan harga buffet dewasa RM19.90 seorang, percayalah, ia amat berbaloi-baloi. Sk rasa Meletop Steamboat & Grill ini walaupun tidaklah sehebat restoran steamboat ternama namun ia tidaklah mengecewakan. Mungkin Sk akan datang lagi membawa keluarga yang lebih besar lepas raya nanti, insyaAllah. Hah.. sape nak ikut tu bayar sendiri yer.. hek hek hek!

image Meletop Steamboat & Grill FB

Seafood (image Meletop Steamboat & Grill FB)

(image Meletop Steamboat & Grill FB)

Sayur-sayuran (image Meletop Steamboat & Grill FB)
 
Minumlah sesuka hati nak ulang berapa kali pun
(image Meletop Steamboat & Grill FB)

(image Meletop Steamboat & Grill FB)

Aiskrim .. boleh cedok banyak kali
(image Meletop Steamboat & Grill FB)

Nasi Goreng.. Mee Goreng.. semua ada
(image Meletop Steamboat & Grill FB)

Buah-buahan.. masa Sk berbuka hari tu rambutan pun ada tau
(Image Meletop Steamboat & Grill FB)


ABC (image Meletop Steamboat & Grill FB)


Budak yang teringin sangat berbuka di luar

makan sampai lebam



Monday, July 14, 2014

TART NENAS GEBUS

ASSALAMUALAIKUM...

SIAPA yang tak minat makan Tart Nenas. Sepanjang Sk hidup 39 tahun ni belum ada lagi SK jumpa manusia yang tak suka makan tart nenas. Sk sendiri mula menggemari tart nenas sejak zaman kanak-kanak. Sk ingat lagi, setiap kali tiba hari raya, Sk paling tak sabar nak pergi ke rumah arwah Pak Andak Sk sebab Pak Andak ada ramai anak perempuan yang rajin buat tart nenas. Kalau makan tart nenas di rumah mereka, Sk selalunya akan makan keliling tart atau bahagian tepungnya dahulu. Nanti akhir sekali barulah Sk sumbat bahagian inti tu ke dalam mulut, fulamakkkk, nikmatnyaaaalaarr.

Tahun berganti tahun, tart nenas tetap malar segar di hati semua orang. Setiap kali pergi berhari raya, kenyang macammanapun, balang tart nenas yang penuh pasti akan tinggal separuh. Memang tak tahu malu betul. Alaaaaa.. kan raya. Kalau dulu tart nenas dibuat bercetak atau berterap kini tart nenas melalui pelbagai fenomena. Tart nenas dibalut berbentuk buah, digulung, dibuat bunga atau dibuat rupa apa sekalipun, ia masih jadi menjadi pujaan.

Walaupun amat meminati tart nenas namun Sk tidaklah pakar membuatnya. Kerja mengupas, membuang duri dan memarut nenas bagi Sk amatlah merenyahkan. Cuma pandai makan dan tunjuk. Kadang-kadang Sk tempah dari mereka yang memang telah terbukti air tangannya sedap dan tak buat kita gigit jari. Sk sanggup berhabis demi sebotol tart nenas yang sedap. Kalau jumpa tart nenas yang sedap Sk boleh makan sampai muka naik berjerawat, haha. Lepas tu barulah insaf tak boleh makan mentega atau margerin banyak-banyak.


Resepi Tart Nenas ini Sk ambil dari blog Kak Anim yang katanya dengan resepi inilah membawa beliau melancong ke banyak negara dalam dan luar. Teruja jadiknya Sk apatah lagi ramai juga yang telah mencuba resepi kak Anim ni. Sungguhlah suapan pertama ke mulut menjadikan Sk bagai hilang ke dunia lain. Ditambah lagi inti jem nenas yang sedap yang Sk beli dari pengusaha jem nenas muslim, Puan Sharifah Mahani. Bagi sesiapa yang berminat untuk membeli inti tersebut bolehlah hubungi Pn Sharifah di talian 0137302815. Kepada Kak Anim, terima kasih banyak-banyak atas kemurahan hatimu berkongsi resepi ini. Semoga Kak Anim sekeluarga sentiasa dalam rahmat Ilahi.


Tart Nenas Gebus
Resepi : Kak Animz

Bahan Pastri :

115 gm mentega
115 gm minyak sapi
1 biji telur gred B
450 gm tepung gandum
sedikit garam
air sejuk

Caranya :


1. Pecahkan telur di dalam bekas adunan,
2. Masukkan butter dan minyak sapi
3. Gaul hingga sebati dengan hanya menggunakan whisk
4. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh.
5. Guna sedikit air sejuk jika doh terkeras kerana angin atau sebagainya.
 
# Sk gunakan acuan tart gulung seperti Kak Anim gunakan. Bila tangan makin licin dan penat, Sk sumbat pulak dalam tepung dan bentukkan seperti nenaslah kononnya. Ada juga yang Sk masukkan dalam mangkuk tart menggunakan pastri yang sama ya. Dan Sk juga cuba terap pastri ini semuanya menjadi. Kiranya adunan ini sesuai untuk apa gaya tart pun.
 
6. Bakar pada suhu 170C-180C selama 20-25 min
## Untuk Inti boleh gunakan seperti biasa sama ada yang buat sendiri atau yang segera yang sedia ada di kedai-kedai jualan bakery.
Resepi Inti Nenas :
10 biji nenas-di sagat dan toskan airnya
3 kampit gula
sedikit pewarna kuning
cara :
Kacau nenas dan gula
Bila hampir kering masukkan pewarna kuning.
Kacau hingga kering dengan api yang perlahan.

DIARI RAMADHAN 13

ASSALAMUALAIKUM...

RAMADHAN telah dua minggu berlalu. Kian hari kian terkejar-kejar tak tahu mana yang nak digapai dulu. Dari hari-hari menulis diari dah jadi dua hari sekali, lama-lama tiga hari sekali arung, hehehe. Sungguh tak patut.. kan :p

Hurmmm.. dah ada yang mula buat kuih sebagai penyeri meja tamu di Aidilfitri. Kalau tak ada balang kuih atas meja rasa macam kurang berseri dan tak rasa suasana raya, betul tak? Yang tak sempat tu macam biasalahkan, main tunjuk-tunjuk je yang mana berkenan. Entah apa mimpi tiba-tiba tahun ini Sk teringin sangat nak makan tart nenas air tangan sendiri. Teringin tart nenas yang gebus, cair di mulut tapi tak pecah di tangan, gitewww.  Setiap tahun pun sebenarnya teringin nak buat tart nenas sendiri tapi selalu terbantut sebab malas nak mengupas, memarut dan memasak jem nenas. Apa pun tak boleh!

Bila rakan fb, Kak Fidah ceritakan tentang kawannya yang menjual inti tart nenas, terus berkobar-kobar semangat Sk. Pernah sebelum ini Sk membuang sekilo jem nenas yang dibeli di Bakery Shop kerana was-was dengan cara pembuatannya. Kali ini Alhamdulillah, dah jumpa pengusaha jem nenas muslim yang diyakini tahap kebersihan dan kehalalannya. Seronok berbual dengan Puan Sharifah Mahani yang ceritanya memproses sehingga 50 kilogram jem nenas sehari. Bertabah betul :-)

Terlanjur datang dari jauh, Sk ambil 2 kilo jem. Haha.. bunyiknya macam ambil 20 kilo kan. Alaaa.. saja nak bagi gempak. Jadi, Ramadhan ke 13, inilah kerja Sk seharian. Mengadap tart nenas sampai nak pitam. Huishhhh, penat giler rasanya. Siap membakar dua dulang tart nenas ER mengajak Sk keluar. Ada benda dalam rumah yang perlu diganti. Petang tu kami bermandi hujan lebat mujur tak ada yang demam. Disebabkan ER ada majlis berbuka bersama kelab media, Sk berbuka di rumah Angah. Kami dihidangkan dengan bubur nasi berlauk. Haaaaaaaa.. habis diet nasi Sk, huhuhu.

Waktu sahur, Sk bangun awal dari biasa sebab tiada stok lauk semalam untuk dipanaskan. Jam 4 pagi masak nasi dan tumis sambal. Sk buat sambal daging. Dagingnya pun Sk hiris sambil menumis sambal. Hampir 5 pagi, semua siap dihidang atas meja. Memang biasanya itulah waktu sahur kami. Jam 6, Sk sambung lagi projek tart nenas memandangkan jem tu masih banyak lagi yang dah siap Sk bulatkan. Takut berkulat pulakkan. Jam 11 pagi selesai dua adunan tart. Terus bersiap untuk hantar Iman ke kelas tuisyen. Sepanjang perjalanan, Sk qada' tidur, hehehe.

Nanti sambung Ramadhan 14 ya...



Friday, July 11, 2014

DIARI RAMADHAN 12

ASSALAMUALAIKUM...

DIAM tak diam dah hampir dua minggu kita berpuasa, kan. Ada yang dah mula buat kuih. Yang berniaga tentunya lebih sibuk lagi. Sk sendiri sudah mula berjaga malam bagi memenuhi permintaan pelanggan. Sebenarnya untuk tahun ini Sk langsung tak buka tempahan. Mana-mana yang masuk tu adalah dari mereka yang biasa berurusan dengan Sk. Sk tak mahu lagi berlaku macam tahun lepas, kerana terlalu penat meladeni tempahan sampai tak tidur malam, hampir-hampir Sk tersadai di tepi jalan. Ya, Sk tertidur semasa memandu. Mujur Iman ada dalam kereta dan menjerit memanggil Sk. Terus Sk tersedar dan kereta sedang menghala ke pinggir jalan yang sedang dalam pembinaan. Nasib baik tak pergi ke seberang jalan, huhu.

Ramadhan ke 12, Sk betul-betul malas nak memasak. Tambah lagi hanya berbuka berdua dengan Iman. Mulanya Sk ingat nak berbuka di bandar tetapi hujan lebat dan jalan sesak dari semua arah. Dari pejabat, Sk pulak kena menghala ke Taman U untuk hantar tempahan. Takkanlah nak patah balik pulakkan. Sebelum tu, Sk singgah sekejap isi gas dan minyak 'air-cond' kereta. Jadi, Sk ajak Iman berbuka di Restoran Steamboat berhampiran rumah. Tapi, Iman kata dia tak minat buka dekat situ. Sebab dia malas nak keluar balik. Sk ajak pergi Pasar Ramadhan pun dia kata tak best. Bila Sk sebut KFC, amboi, teruja betul dia. Lama tak makan katanya dan lagi seronok buka di rumah. Apalagi, kita tapaulahhhh!!

:))))))

Thursday, July 10, 2014

DIARI RAMADHAN 10 & 11

ASSALAMUALAIKUM...

TAHU dahhhhh.. mesti anda tunggu Diari Ramadhan 10, Sk semalam kan?? Hah, tak tunggu?? Tak heran pun??? Sampai hati ya.. majuklahhhh!!

Siapa yang ikut drama bersiri Samarinda ekslusif sempena Ramadhan tahun ini? Akhirnya setelah begitu lama tidak mengendahkan slot ini (sebab lebih panjang iklan dari cerita Sk rasa) Sk terjebak jua selepas tertonton episod kedua 'Ramadhan Jangan Pergi'. Pukul 10 dah terbongkang sedia depan tv nak tunggu kemunculan wanita bengis bernama Sheila Rusly, hihihi.










Alahai.. kelakar betul kawan-kawan fb Sk ni tau...

Dua hari berturut-turut.. dari waktu berbuka sampai waktu bersahur.. berbuka dan bersahur kembali dengan Ayam Kuzi dan Sayur Sawi Jepun atau Pak Choy. Dua hari berturut juga (Ramadhan 10 & Ramadhan 11) kami hanya berbuka dua beranak dan malam ini pun nampaknya Sk masih lagi berbuka bersama Iman sahaja. Iman memang tak cerewet dengan apa yang Sk masak asalkan berkuah. Ulanglah berapa kali lauk tu, kalau sedap di tekaknya memang dia tak membantah. Syukurrrrr ada anak yang baik macam ni.

Waktu bersahur tu, ER tanya, "Ayam Percik ke ni?"

"Ya, ayam percik..," Hehehehe.. malas nak layan di saat mengantuk.

"Laju babah makan bila bonda kata ayam percik," cerita Iman. Kah kah kah... nanti raya mintak maaf.



Ayam Kuzi

Bahan-bahan :

Seekor ayam dipotong doblas
Sepeket rempah premix Kuzi Nurani Spices
200 ml air
200 ml susu sejat
segenggam kismis
sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara :

1. Panaskan minyak dalam kuali.
2. Kacau rata rempah kuzi bersama 200 ml air.
3. Tumis rempah sehingga pecah minyak dan pekat dengan api kecil.
4. Masukkan susu sejat, kacau sentiasa hingga mendidih. Api sederhana.
5. Masukkan ayam, kacau sekejap. Tutup kuali.
6. Kacau sekali sekala.
7. Masak sehingga kuah pekat dan agak kering. Kalau suka kuah banyak, tak perlu masak sampai kering. Pastikan ayam masak, bolehlah ditutup apinya.

Senang giler sangat!!

Ingin mendapatkan rempah ini? Hubungi Ann Norwani 0127815546.


Pak Choy Sos Tiram

Bahan-bahan :

 3- 4 pokok Pak Choy
1/2 labu bawang bombay hiris
3 sb sos tiram
sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara :

Tumis bawang bombay.. sampai garing. masukkan Pak Choy. Kacau rata dan masukkan sos tiram. kacau sekejap, siapppp!!

p/s ... petang ni rasa malas nak masak.. nak buka apa ek???

Tuesday, July 8, 2014

DIARI RAMADHAN 9

ASSALAMUALAIKUM...

ALHAMDULILLAH... 9 hari sudah kita berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini. Ada yang dah ABC ke? Bagi Sk, ABC tak ABC tetap jugak tak makan dan minum seharian. Tetap jugak kena bangun awal menyediakan juadah bersahur. Biasanya Sk ikut sama bersahur sebab sebaik habis sahur kena sedia untuk ke pejabat pulak. Di pejabat kena juga menghormati kawan yang berpuasa. Tak pandai pulak nak minum atau makan sembunyi-sembunyi. Walaupun sebenarnya kawan tu tak kisahpun. Satu lagi, bilik pejabat Sk ni selalu dikunjungi pelajar jadi takut pulak ada aroma yang tertinggal nanti, hihihi.

Semalam Sk terlupa nak mengeluarkan bahan untuk memasak. Semuanya sejuk beku dalam peti ais. Memang tak sempatlah nak memasak untuk berbuka. Hendak tak hendak kenalah ke pasar ramadhan juga. Alhamdulillah, dengan adanya pasar ramadhan ni memudahkan kita sebenarnya. Kalau tak sempat memasak boleh beli. Kalau sempat memasak, bolehlah memasak. Pada pendapat Sk, apabila kita berurusan di pasar ramadhan kita saling memberi dan menerima. Yang penting berhemah bila berbelanja. Kita ni berpuasa sebulan, jadi bila rasa macam nak beli jer semua yang menarik di pasar ramadhan tu itu semuanya hanya nafsu dan ditambah lagi perut lapar dan tekak berlobangkan. Cuba bawa bersabar dan bertenang. Fikirrrrr... esok masih ada. Hehehehehe... tu sebenarnya nasihat yang selalu ditujukan pada ER, keh keh keh.

Rasanya dah dua tahun puasa juga Sk tak berkesempatan nak menjejakkan kaki ke Pasar Ramadhan Kampung Pasir. Pada mulanya kami bercadang nak ke Pasar Ramadhan di Taman Sri Pulai tapi semasa menyusuri tepi jalan depan tu ada sebuah kereta bagi isyarat nak keluar jadi kamilah pulak yang masuk :))) Pasar Ramadhan Kampung Pasir mungkin tidak sebesar atau sepanjang Pasar Ramadhan di tempat lain tapi tetap ada daya penariknya. Memang bagus pergi ke sini sebab tak banyak buang masa cuci mata. Sampai rumah, Sk sempat masak nasi dan panaskan semua juadah yang dibeli... dan sempat pulak buat sesi foto :p

Asam Pedas Daging
yang kelmarin punya kelmarin.. ada seperiuk kecil lagi
Alhamdulillah... dah selesai semuanya semalam
oleh peminat asam pedas nombor 1
Iman Fatiha :)))))

Siput Sedut Masak Lemak Cili Api
Kalau pergi di kebanyakan Pasar Ramadhan di JB
kebanyakan menjual harga siput sedut begini dengan harga tetap
sama ada RM5 sesenduk atau RM5 semangkuk
di Kampung Pasir anda boleh beli bermula dengan harga RM2
dalam gambar tu RM5... cukup banyak.. puas makan

Sambal Kerang
yang sedap meletops
dari Gerai Kelantan yang femes di Kampung Pasir
kerangnya gemuk-gemuk
dan sambalnya sedap pedas manis yang secukup rasa
kecur ailio cerita, hihi

Untuk siapa yang kecewa sebab tak dapat tengok
gambar Ayam Tempayan semalam
ni Ayam Bakar dari makcik peniaga ayam bakar paling senior di Kampung Pasir
sedap cukup segala rempah ratus dan rasa
 

Rojak Petis
yang dijual secara tradisional dari pakcik yang bermotosikal
tak buka meja pun
Pakcik hiris timun, sengkuang, tauhu dan nenas
atas motor
memang membuat kita terkenang semasa dulu
kuahnya diasingkan
supaya tak berair menjelang waktu nak makan
pandai pakcik ni

buatlah cupcake cantik-cantik macam manapun
dan letaklah sebelah cekodok
nescaya cekodok jugak yang laku dan disuap ke mulut ER
ni kalau orang yang gigi bergoyang
lepas makan tak sedar gigi dah tak ada
rupanya dah tertelan bersama cekodok liat.. hehehe
kuih akok tu sedap.. lain kali boleh pergi lagi
Pasar Ramadhan Kampung Pasir

Tiada dalam gambar:

Taufufa
berperisa pandan dan jagung
2 dalam satu
yang berbaloi-baloi dibeli
sekali menyuap tak boleh nak berhenti
pemanis mulut semasa menonton tv

:)))))

Monday, July 7, 2014

DIARI RAMADHAN 8

ASSALAMUALAIKUM...

Pasar Ramadhan yang paling meriah Sk kunjungi adalah Pasar Ramadhan Taman Perling yang Sk tinjau petang semalam, hihihi. Dan pada Ramadhan ke 8 juga juadah berbuka kami semuanya sumber dari param disebabkan gas habis ngam-ngam masa memanaskan murtabak untuk bersahur. Siap sahaja murtabak api gas pun kian malap. Nak goreng telur pun tak sempat :)))

Pasar Ramadhan Taman Perling boleh dikatakan menghimpunkan pelbagai jenis makanan seantero Malaya. Dari Roti Boyan Singapura dan Nasi Beriyani Zam Zam-nya sehinggalah ke selera utara. Macam-macam ada!! Tak pasti berapa banyak kalori yang terbakar semalam, berpusing-pusing mencari apakah makanan yang berkenan di hati. Hasil rempitan semalam :

Nasi Beriyani Zam Zam untuk ER dan Iman
Rojak Asma
Tauhu Bakar
Ayam Bakar Tempayan
Sk memilih untuk makan sana sikit.. sini sikit.. jaga diet katanya.. berangan nak berkebaya di hari raya, gitewww... Tak ada maknanya kalau dah sana sikit.. sini sikit.. mana nak datang kurusnya :p

Ops! Gambar Ayam Tempayan tak ada
Gambar tempayan ada.. pinjam Pakcik Google
jangan marahhh haaa...

GRILLED LOBSTER

ASSALAMUALAIKUM...


LAMA sungguh Encik Lobster ni beradu dalam peti ais. Dari minggu ke minggu memang tak sempat nak mengerjakannya. Mujur belum jadi batu. Kalau tak, ada pulak nanti yang gigit jari sampai kematu, hihihi. Rasanya inilah cara yang paling mudah untuk menyiapkan satu hidangan lobster yang cepat dan lazat. Sk cuma belah dua setiap lobster dengan menelentangkannya dahulu. Gunakan pisau yang tebal dan tahan lasak ya. Taburkan garam secukup rasa berserta serbuk lada hitam. Kemudian Sk taburkan rosemarry, oregano, parsley dan serbuk paprika. Percikkan sedikit dengan minyak zaitun dan peraplah 30 minit pun cukup. Macam kes Sk ni terperap semalaman sudah.. hehehe.

Sk bakar dalam magic pan selama sepuluh minit sahaja. Senang, tak perlu nak terbalik-terbalikkan lagi. Bila dah cukup masa 10 minit keluarkan lobster dan susun dalam pinggan. Kemudian tuangkan satu senduk krim, dua senduk pun boleh ke dalam magic pan tu, kacau-kacau sebentar biar dia sebati dengan bahan-bahan belen perapan lobster tadi sehingga agak mendidih dan curahkan di atas lobster. Nyummmmm!! Terima kasih Kak Ida 1001Resepi yang berkongsi idea ini :)))))

Sunday, July 6, 2014

DIARI RAMADHAN 7

ASSALAMUALAIKUM...

SEJAK bertahun setiap Sabtu merupakan hari yang paling sibuk bagi Sk sebab Iman ada kelas tuisyen. Sk memang tak bercadang nak memasak memandangkan Asam Pedas Ikan Pari pun masih banyak. Oh, ya.. semalamnya juga Sk ada 'marinate' dua ekor lobster yang Sk beli sebelum ini.. konon nak grill pada Ramadhan ke 6 tapi tak jadi sebab dah banyak membeli makanan tukan. ER pulak mengajak SK ke jeti Tanjung Sedeli lepas hantar Iman ke tuisyen. Jadi, Sk dah tahu dah memang tak sempat nak masak punya.

Tak berapa lumayan hasil 'pancingan' di Sedeli kali ini. Udang pun tak ada. Tak musim katanya. Yang ada udang sebesar jari kelingking Sk, mahal pulak tu. Keluar dari simpang jeti nampak gerai-gerai ramadhan dah mula berniaga. Awalnya... tapi Sk singgah jugak sebab nampak ada kawah kuali besar tepi gerai. "Gulai kawah ke tu kak?" Tanya Sk. Kakak tu mengangguk, terus Sk mintak bungkus selepas kakak tu bagi jaminan gulai tak basi menunggukan waktu berbuka. Sk minta sekali kakak tu bungkuskan sedikit sayur.. hihi.. tahu dahkan.. nanti tak sempat nak masak.

Lepas meronda tidak tentu arah, kami pergi jemput Iman yang habis tuisyen. Kali ni Iman terus dibawa 'teacher'nya ke Pasar Ramadhan Taman Daya. Jadi, kita tinjau sini pulaklah ya. Isk, jauh-jauh macam tu ramai pulak kenalan yang menyapa, hihi. Di sini kami beli murtabak yang femes.. rasanya bukanlah femes sebab sedap sangat tapi sebab cuma pakcik ni sorang jer yang meniaga murtabak kot.. erkkk!! 'Teacher' Iman belikan Iman kebab Malaysia dan Sk tambah beli kuih talam berlapis RM2.. jom kita balik!

Alhamdulillah, sampai rumah sempatlah panaskan nasi dan lauk Asam Pedas Ikan Pari. Sempat jugak buat ais cincau yang sedap.. hehehe. Kemudian sambil makan/ berbuka puasa tu Sk grill Lobster dalam magic pan. Sepuluh minit jer dah siap. Kali ni Sk perap Lobster ala-ala Kak Ida 1001Resepi buat ayam panggang. Memang best sangat, tak sangka ada cara yang lebih mudah untuk menikmati lobster, tak payah nak masak bersungguh-sungguh sangat, hehe. Nanti Sk update resepinya ya.. tungguuuuu!!




DIARI RAMADHAN 6

ASSALAMUALAIKUM...

SENGAJA Sk masak awal pada hari ke 6 berpuasa. Pagi-pagi lagi Sk dah rendam ikan pari untuk dimasak asam pedas. Sebelum Zohor asam pedas dah mendidih atas dapur, nyummmmm. Sayur semuanya tak ada, petang nanti bolehlah singgah kedai beli. Sebelum tu kena layankan keinginan Iman yang katanya dah lama tak minum Air Kathira Abu Bakar. ER pulak sibuk nak pergi Pasar Ramadhan Kampung Melayu. Air Kathira pulak kena cari di Bandar Baru Uda. Kita pergi dua-dua, kata ER. Baiklahhh.. kerana kasih hamba turutkanlah nampaknya.

Pasar Ramadhan Kampung Melayu yang suatu masa dahulu menjadi salah satu identiti di Tanah Jauhar kini tidak lagi semeriah dulu. Serinya telah hilang akibat rancangan pembangunan. Sebahagian peniaga dah tak nampak batang hidungnya. Malah, dah tak terdengar lagi suara kelam kabut Pakcik OK yang meniaga Bihun Sup Utara. Nasib baiklah masih ada lagi Pakcik S S Ali yang meniaga Popia Basah. Ops! Sebenarnya nama pakcik tu lain, S S Ali tu, bapak kepada pakcik tu, hihihi. Yang paling pelik, Murtabak Tomok yang dulunya orang beratus berpuluh ela cuma kontot saja barisannya. Ke manakah semuanya pelanggan setia???

Bagi melayan tekak yang berpuasa, walaupun dah berkali Nabi SAW pesan berbuka ala kadar sahaja, cukup dengan tamar dan segelas air sejuk.. mengenangkan nak datang lagi entah bila, kami beli Popia Basah S S Ali. Ini wajib setiap kali ke Kampung Melayu. Kali ni Sk pesan dengan ER, jangan beli banyak, beli sebungkus cukup. Murtabak Tomok yang bersaiz kertas A4 tu kami beli sekeping dan Sk ternampak pulak orang menjual Sengkuang Calit yang katanya makan sekali hendak lagi, urmmm... teringinlah pulok tak pernah rasa cemana enaknya sengkuang calit yang di war-warkan tu.  ER beli Talam Seri Muka RM2, okeylah tu sementelah puan isteri amatlah malas membuat kuih sekarang ini.

Dari Kampung Melayu kami terus ke Bandar Baru Uda. Pasar Ramadhan berhampiran Masjid Jamek Uda ni merupakan antara pasar ramadhan yang paling mendapat sambutan dan termasuk dalam agenda wajib. Agenda kami di sini ada dua sahaja iaitu memburu Air Kathira Abu Bakar dan Laksa Penang Sedap. Ya... sangat sedap Laksa Penang itu tau, Sk lupa apa namanya. Rasa macam masakan yang dimasak untuk keluarga sendiri. Sk juga beli Mee Kari dan Soya Panas di gerai yang sama... sangat sedap, betul-betul masak macam nak bagi makan suami dan anak, hehe. Dan seorang peniaga menghulurkan sebungkus mee percuma bila kami lalu di depan gerainya.

Sampai rumah, mak aihhhhh!! Banyaknya beli. Sudahnya Asam Pedas Ikan Pari masuk dalam peti untuk hidangan sahur esok pagi :)))))

Asam Pedas Ikan Pari
Gambar di ambil setelah separuh masa sahur
dah comot-comot mangkuknya..
nyummmm!!





Friday, July 4, 2014

DIARI RAMADHAN 5

ASSALAMUALAIKUM...

DAH beberapa hari Iman asyik menyebut tentang Air Kathira Abu Bakar. Sebenarnya Sk ni bukan tak nak beli tapi malas betul rasanya nak menyimpang dari laluan asal. Nanti sampai rumah nak sediakan juada berbuka lagi. Menempuh sesaknya jalanraya, cari tempat letak kereta dan nak menyampaikan kat tempat jualan air kathira tupun dah makan masa jugak.. hihi. Banyak alasan betul, hehehe.

"Ala... malaslah nak pergi.. nanti bonda balik nak masak Asam Pedas Daging lagi. Nak goreng Ayam Berempah lagi. Mana sempat.."

"Hah.. Asam Pedas Daging? Bestnya..." terus Iman terlupa Air Kathira Abu Bakar... hehehehe.


Semalam kami berbuka dua beranak sahaja. ER berbuka dengan IRDA. Tapi dapatlah dia menikmati lauk yang sama ketika bersahur pagi tadi. Memang tak ada lain atas meja cuma tiga lauk ni sahaja. Asam Pedas Daging, Sayur Sawi Masak Air dan Ayam Goreng Berempah Bersama Jus Tembikai dan Jus Buah Naga, hihi. Macam biasa, lepas jamah kurma terus makan nasi. Kalau buat kuih pun bikin penat jer.. lebih baik beli cuma malas nak terkejar-kejar di pasar ramadhan. Sambil makan tu Iman berapa kali pesan sahur nak makan lauk yang sama.. nak makan nasi.. hihi. Sedap sangatlah tuuuu :p

InsyaAllah, hari ni SK nak tinjau apa yang ada di Param... melayankan ER tularrrrr... ;-))))


Thursday, July 3, 2014

ROTI SARANG LEBAH

ASSALAMUALAIKUM...



SAHUR kami Ramadhan ke 5, Roti Sarang Lebah yang diimport khas dari Negeri Bersejarah. Kan Sk ada cerita yang kami keluar kota beberapa hari sebelum puasa, kami singgah bermalam di Melaka sebenarnya. Hajat hati nak makan ikan bakar tapi terkonarlah pulak ke Asam Pedas, hihi. Hari pertama sampai, sahabat muka buku yang tinggal di Tengkera, postkan gambar-gambar roti arab jualannya. Lama dah berhajat untuk menempah dengan beliau, memang dah tibalah masanya, kan. Alhamdulillah, Mamamya sudi menerima tempahan saat akhir Sk. Inilah dia Roti Sarang Lebah Mamamya Bakery yang gebus tetapi tetap lembut di kala sejuk dan amatlah enak dinikmati ketika panas-panas.


Kebetulan, adik-beradik Sk berkumpul di rumah, jadi, Sk panaskanlah Roti Sarang Lebah dan Sk memang beli sekali Roti Arab ni. Akak Sk sepanjang makan tu asyiklah puji sos roti tukan. 'Macam.. macam yang kat apa tu.. mama... mama... ' puas dia ingatkan, akhirnya barulah adik Sk yang ingat.. "Sos Auntie Anne laaaaa..."

'Haaaaaa... tulah nak cakap, Auntie Anne...' dah gelak satu rumah. Memang sedap sangat tau. Roti Arabnya pulaklembut, sedap, lemak dan manis. Cicah asam pedas laku betul. Semalam Sk cicah dengan kari pulak, meletops!! Sk bab-bab buat roti ni memang tak pandai tapi kagum dengan Mamamya yang tak putus-putus menerima tempahan. Memang sesuailah kan, bulan-bulan puasa, siapa-siapa yang tak selera makan nasi masa sahur ni bolehlah beli roti arab dari Mamamya. Nombor telefon pun ada kat gambar tu, boleh telefon atau whatsapp. Tak silap Sk, Mamamya juga boleh buat penghantaran melalui poslaju, jadi bolehlah bertanya sendiri ya.

gambar dari fb Mamamya

Oh, ya.. dapat Roti Cheese sebuku.. lupa nak ambil gambar.. wassalam separuh bekas sepanjang perjalanan balik ke Johor :))))))

JUS TEMBIKAI LAICI

ASSALAMUALAIKUM...


JUS Tembikai Laici.. minuman penghilang dahaga yang menjadi permintaan Iman waktu berbuka semalam. Sebenarnyakan, sejak beli blender baru masa ke Pengkalan Kubor, Kelantan hari tu punyalah rajin Sk buat jus buah. Tak putus bekalan gitu. Masa blender lama dulu ada jugak buat tapi sebab leceh nak cuci jug tu, banyak sangat bahagian nak kena cuci. Kalau guna 'juice prosessor' lagilah leceh. Tapi jug blender baru ni mudah dicuci, tu yang Sk rajin kali ni. Jug pun besar tinggi, boleh kisar banyak-banyak dan tak melimpah masa dia berputar tu, syok sangat. Kalau kisar tembikai sebiji, memang dapat empat botol besar. Satu botol 2 liter air, memang puas bergandalah minum.

Masuk bulan puasa, ER beli pulak buah naga. Haaaaa... tulah Sk sebut Jus Kaktus tu. Buah Naga atau Dragon Fruit kan sejenis pokok kaktus, kan. Yang ni Iman tak mahu minum. Kesian jugaklah, dia terpaksa minum cordial. Tu yang semalam dia komplen bila bondanya boleh buatkan jus tembikai. Bila Sk cadangkan buat tembikai laici lagilah dia suka, kan. Dua-dua memang minuman kesukaan dia tu. Kita layankan jerlah selera budak-budakkan. Walaupun badan besar tapi semua kerja yang menggunakan gas dan elektrik dalam rumah memang Sk yang buat. Nasiblah dah boleh harap kemas meja lepas makan, Sk goyang kakilah sambil tengok tv lipat kain  :p... huhuhu..

Jus Tembikai Laici

Bahan:

1/4 biji tembikai sederhana saiz (kupas kulit dan potong kecil)
5 sudu besar gula
1 Tin Laici (asingkan air dan buah)
2 liter air

~Masukkan tembikai dan gula dalam jug blender
~Masukkan air laici
~Masukkan air separas tembikai

Kisar sampai halus. Tuangkan ke dalam jug. Tambahkan lebihan air yang 2 liter tadi. Masukkan buah laici dan ais. Sedap tauuuu!!


DIARI RAMADHAN 4

ASSALAMUALAIKUM...

"BONDE hari ini babah ada buka puasa dengan UTM" sebaris whatsapp yang Sk terima dari ER petang semalam. Teruslah Sk terkenang dan terbayang makanan apakah yang hendak disumbatkan ke dalam perut anaknda Iman Fatiha. Alhamdulillah, Iman ni tak berapa cerewet pasal makan. Ayam, daging, ikan, sotong, udang semua dia suka.. semua dia telan. Tapi, jangan bagi dia telan lauk yang sama lebih dari tiga hari, haruslah dia meroyan. Tapi, taklah sampai hempas-hempas kaki macam Si Pekan dalam filem Batu Belah Batu Bertangkup. Cuma, kalau kita tengok air muka dia jer kita dah tahu dah yang Iman sedang protes. Ada berani nak mengamuk-ngamuk???

Walaupun Sk ni jenis yang berbuka sahaja dengan apa yang ada, jenis tak kisah asal dapat teguk air dengan makan kurma pun dah kenyang tapi wajiblah memikiorkan perut si anak. Sk faham jiwa masih muda, tenaga masih banyak, selera pun macam-macam. Sk tanya, Iman nak makan lauk apa? "Tak kisah" jawab Iman tapi bunyi 'Tak kisah' tu ada sikit pelik. Jadi maknanya kita janganlah buat tak kisah pulak. Bersinar-sinar mata Iman bila Sk cakap kita goreng ayam nak. Urmmm.. kisahlah jugakkan...

Terik matahari semalam. Air-cond kereta pulak rosak.. gas habis kot. Spek hitam tertinggal. Buka tingkap besar-besar bagi angin masuk. Jangan kata angin jer masuk, asap, debu, bau macam-macam masuk dalam kereta. Peluh mengalir janganlah cerita. Turun jejambat bertingkat Danga Bay.. hambek.. sesak. Buatlah jalan lima enam lorong pun tetap banjir dengan kenderaan. Masuk Simpang Pontian dah rasa macam habis segala tenaga yang ada. Semangat nak goreng ayam luntur selunturnya.

Sudahnya, lauk kami semalam :

Kuah Kari Ikan (Ikan takde tinggal kuah) kelmarin punya kelmarin :)))
Sayur Sawi Goreng Sos Tiram. Sawi ni pemberian kawan sekerja Sk yang ada kebun sayur. Rajin beliau bersedekah sayur semoga tambah melimpah rezeki beliau.
Sotong Goreng Kunyit... yeaaa.. sotong bulan bila beli Sk tak ingat, nasib baik belum jadi getah, kakakaka
Kepak Ayam Percik... hihi yang ER beli 6 ketul RM10 semalam tu, ada dua ketul lagi sebenarnya.. panaskan laaa.. beli tu!!
Sambal Belacan
Dan.. Jus Tembikai Laici

Iman makan dengan penuh selera. Alhamdulillah, syukur dapat anak yang tak cerewet. Apa yang Sk masak semuanya dia makan. Jus Tembikai Laici tu Sk buat semalam khas untuk Iman sebab yang penuh dalam peti ais tu semuanya Jus Kaktus. Haaa.. yang tu kalau dia kata tak nak memang tak naklah. Ada yang tanya macam mana rupa Jus Kaktus?? Nanti Sk cerita.

Eh, semalam Sk rajin ambil gambar tau. Sk ambil sipi-sipi jerlah ya. Kesian pulak orang puasa kan.. eh.. tak kecur punyalah.. jangan tengok lama-lama ya :p


Wednesday, July 2, 2014

BAHAGIANYA DAPAT MAKAN MEE CELUP ORI

ASSALAMUALAIKUM...

Sambungan... MUNDUK... TAKDIR YANG TERTULIS

MENGGEGEL kepala lutut bila melangkah titian dari pelantar ke sampan. Hah, nak pergi sangat, kan.. Haaa.. siapa-siapa yang biasa baca blog Sk tentu tahu tahap kegayatan Sk ni. Rasa macam tak seimbang jer sampan tu tau. Tu pun kami cuma bertujuh termasuk pengemudi sampan tu. Kalau google gambar-gambar lama penuh sampan setiap kali nak ke Munduk. Yang tu tak boleh terbayanglah macam mana.. dengan barang-barang lagikan.. huhu.



Sebaik mendarat, memang terus masuk ke tempat jualan. Kami bersalam-salaman dengan suami isteri yang telah berjaya memujuk ER naik sampan tadi, hihi. Sk terus menuju ke sebuah kedai pakaian dan tertariklah jugak dengan sehelai dress labuh yang tergantung di patung. Sk tanya harga, "RM35" Tokojut Sk tau. Sebab Sk biasa jumpa dress labuh macam tu paling murah pun RM60. Tapi, apa yang Sk perasanlah di sini.. kalau kita tanya harga, harga yang disebut tu memang jauh lebih murah dari tempat kita, sampai separuh harga tapi kita tak boleh nak tawar banyak.


Sk cuma meninjau-ninjau sebab macam tempat yang Sk pergi sebelum nipun, kebanyakannya menjual jenis pakaian yang sama sahaja. Tudung??? Sk tak pakai tudung bertingkek-tingkek. Puas jugaklah berkeliling mencari shawl tapi macam tak jumpa pulak. Yang penting masa tu, tekak nikan.. tekak ni teringinnnnn sangat nak makan Mee Celup Original Siam yang Ziela cerita tu tapi Sk tak ingat langsung kat belah mana. Lalu Sk pun bertanya pekedai baju tadi.


Dia menunjukkan arah ke gerai tersebut. Kami menyusur di celah gerai dan tembus ke kawasan perkampungan moden Munduk. Taklah moden sangat dan taklah mundur kan. Tapi memang ada rumah agam dan rumah papan yang ketinggalan. macam tak seimbang jerkan. tapi itulah Munduk.

Lepas tukan, Sk nampak seorang kombat berdiri dengan senjata di tepi jalan. Alamak!! Sk terberhenti melangkah. ER pun.. hahahaha. Sk nampak ada satu kedai macam menjaja makanan di sebelah sana, tapi ada kombat kat situ. Kenapa Sk sebut kombat... sebab dia pakai helmet macam selalu kita tengok cerita-cerita perang lama-lama tu, huhuhu. Sk ngan ER dah huru hara sekejap dekat situ. Iman pun macam dah cuak semacam. Terus teringat berita-berita tentang pergolakan yang berlaku sebelum nikan.. lagilah Sk serammm.

Kami tak jadi pergi kedai depan tu. Berundur sikit sambil jeling abang kombat. Dia pun jeling kat kami la. Matilah kalau dia suruh tunjuk pasport, hoho. Depan kombat tu berdiri ada warung bertulisan Thai tapi macam warung kopi pakcik-pakcik ajer. Errr.. cemana ni. Mee Celup tetap menjadi pujaan.

Kami buat-buat masuk ke kedai menjual jersi. Buat-buat belek jersi sambil jeling Abang Kombat. Matanya meliar mengawasi suasana dalam pekan. Sk terus terlintas nak tanya dengan pekedai jersi tu, kat mana nak makan mee celup. Dia terus tunjukkan arah kedai yang Sk cakap tadi. Jadi, memang betullah kat situ.

Kami cepat-cepat bergerak menghala ke kedai tu. Dalam hati janganlah kombat tu kejar, kan. Makin dekat makin jelas kedai Mee Celup. Makin hampir hati makin berbunga-bunga. Cepat-cepat ambil tempat duduk yang kosong di luar kedai. Seorang wanita bertudung sedang sibuk menyiapkan mee dalam mangkuk. Dia tersenyum memandang Sk. Sk pun mintaklah mee celup.. makan situ.




Tak toleh kiri kanan, dengan lafaz Bismillah, kami menyudu sup ke dalam mulut. "Ya Allah, sedapnya... ini betul-betul ori baaaaaahhh," Alamak, sambil tulis nipun telan-telan ailio. Tak batal posa kan.. kan...

Oooo... anda pun telan-telan ailio ke?? Alamak... maaf ya... huhuhu. Bila dah balik, baca balik entry Ziela, rupanya Ziela makan mee celup tebing sungai, bukan tempat yang Sk makan ni. jadi ada sikit ralat di situ :((

Rupanya di sini tiada dijual air yang sedap-sedap ya. Hanya sebiji jag plastik berisi air masak sahaja diletakkan di situ. Nanti, dia bagi kita gelas plastik yang berisi ais sahaja dan minumlah air tu berapa banyak pun yang nak. Sk minum banyak air, pertama sebab haus, kedua sebab pedas... hehehehe.

Yang pasti Sk sangat sangatlah... bahagiaaaaaaaaa :)))))

pssstt.. nampak cam samseng, kan..
samseng taik tucen!! hikhikhik

AKHIRNYA IKEA TEBRAU DIBUKA

Assalamualaikum... YEAY!!  Akhirnya setelah sekian lama menunggu, Ikea Tebrau kini dibuka di Johor Bahru.  Setelah bertahun-tahun beran...