MESTI KLIK

MESIN TEKAN CRUST TART

MESIN TEKAN CRUST TART
PEMBERITAHUAN : Sebarang pertanyaan atau tempahan mesin tart dan sebagainya hendaklah diajukan melalui sms dan whatsapp sahaja ke talian 0127844524. Terima kasih.

Thursday, December 31, 2009

SELAMAT DATANG 2010, SELAMAT TINGGAL 2009, KIRIM SALAM 2008


Hehe... saya masih ingat ayat ni. Selalu saya dan teman-teman zaman study gunakan bila tiba ambang tahun baru, cuma nombor tahun saja yang bertukar.
Hari ini 31 Disember 2009, sebentar sahaja lagi kita akan melangkahkan kaki ke tahun 2010. Saya seperti tak percaya, sudah berada di gerbang ini. ALhamdulillah.. harapnya umur dipanjangkan dan diberi kesihatan dan rezeki olah Allah swt.
Setelah lama tidak membuat azam baru, tahun 2010 ini saya ada misi. Harapannya dapatlah saya laksanakan dengan jayanya. Apa azam tu, bukanlah rahsia tapi saya hendak simpan sendiri dulu, nanti akan saya beritahu. Saya cuma berharap dan berdoa diberi semangat yang jitu supaya azam itu nanti akan tercapai..InsyaAllah.
Esok tidak seperti negeri-negeri lain, warga Johor akan bekerja, termasuklah saya. Semoga hari bekerja esok akan menjadi permulaan yang baik untuk saya. Saya menunggu kehadiran 2010 dengan lapang dada dan memperkasakan jiwa.

Wednesday, December 23, 2009

asyiknya Kota Bandung kalau ada banyak rupiah...


HARI kedua di Bandung, saya dan suami bangun awal. Suami saya awal-awal lagi telah menyewa kereta bersama pemandu bagi memudahkan pergerakan kami di sini. Saya dari mula memang tidak banyak membantah.. walaupun pada mulanya memikirkan kos RM150 terlalu mahal untuk tempoh 12 jam tetapi fikiran saya berubah kerana ini akan lebih memudahkan kami yang tentu tidak mahir selok belok di kota ini. Lebih-lebih lagi seorang teman pernah memberitahu ada yang mengenakan sehingga 1Juta Rupiah untuk perkhidmatan yang sama iaitu lebih kurang RM364.
Satu perkara menarik mengenai hotel kami menginap ini ialah adanya persembahan Saung Angklung Udjo iaitu sejenis muzik tradisional masyarakat Sunda yang dipersembahkan setiap hari bermula jam 3.30 petang. Tetapi memandangkan kami kesuntukan masa, saya tidak berpeluang menikmatinya lebih lama.
Kami selesai bersarapan kira-kira jam 7.30 pagi. Masih awal kan.. tapi waktu ini cahaya fajarnya sudah cerah seperti pukul 9 pagi. Suami mengajak saya menunggu di lobi, saya menyuruh suami pergi dahulu kerana saya mahu ke bilik sekejap. Sampai di lobi, saya melihat ada seorang lelaki lebih kurang separuh umur berbaju batik Jawa duduk di ruang tamu bersebelahan dengan ruang tamu tempat suami saya duduk. Saya terus mengambil tempat di sebelah suami. Kami berbual-bual sambil menunggu pemandu yang akan membawa kami berjalan-jalan nanti. Sempat juga suami mengagih-agihkan cenderahati yang masih ada kepada beberapa pekerja hotel yang menegur kami.
Hampir jam 9.00 pagi, suami saya mendapat panggilan daripada Bapak Roni, pemilik kereta yang kami hendak sewa meminta kami menunggu di lobi kerana pemandunya sudah sampai. Suami saya mencari-cari pemandu yang dimaksudkan, rupa-rupanya orangnya ialah lelaki yang duduk di sebelah kami tadi. Haha, rupa-rupanya sama-sama menunggu orang yang ada di depan mata.
Dia mengenalkan dirinya sebagai Pak Wan. Pak Wan orangnya begitu sopan dan merupakan orang tempatan. Pak Wan bertanyakan destinasi pertama kami. Kami meminta Pak Wan agar membawa kami ke Traditional Mall atau lebih dikenali dengan nama Pasar Baru. Dari luar bangunan Pasar Baru, saya dapati suasananya sudah agak sibuk dengan para peniaga yang baru saja hendak memulakan perniagaan masing-masing. Kebanyakan kedai sudah siap dibuka dan sedang menanti pelanggan. Pak Wan mencadangkan untuk meletak kenderaan di tingkat atas dan dia akan menunggu kami di tempat parkir. Kami bersetuju. Pak Wan terus memandu masuk ke tempat parkir di tingkat atas. Pening sekejap kepala saya kerana walaupun banyak lagi tempat parkir yang masih kosong tapi Pak Wan terus-terusan mendaki dengan kereta. Rupanya Pak Wan hendak parkir di tingkat paling atas, tinggi juga Pasar Baru ni, 8 tingkat rupanya.
Keadaan Pasar Baru lebih kurang seperti Pasar Wan Khadijah di Kelantan atau Komplek Arked Membeli-belah di Padang Besar, cuma keadaannya lebih padat. Hampir di setiap ceruk, ada saja kedai yang menjual pakaian yang kebanyakannya merupakan pakaian tradisional Indonesia. Di aras bawah, kebanyakan kedai menjual barangan makanan seperti keropok, ikan kering dan buah-buahan. Manakala dari tingkat 1 hingga 7 kebanyakannya menjual pelbagai barangan yang kebanyakannya khusus wanita seperti kain ela, batik, kebaya sulam, tudung pelbagai fesyen, telekung dan tas tangan. Amat sedikit pilihan untuk kaum lelaki tetapi suami saya tetap bersemangat memilih beberapa pakaian yang sesuai untuk saya. Dapatlah saya tiga empat pasang pakaian baru, Alhamdulillah.. terima kasih En Rizar.
Dari sana, Pak Wan membawa kami ke sebuah butik yang menjual pakaian jenama Levi. Menurut Pak Wan, ramai orang Malaysia yang tidak melepaskan peluang shopping di sini kerana harganya yang murah. Kami hanya melihat-lihat sebentar dan berjalan ke kedai-kedai lain berhampiran.
Tengahari itu kami memilih untuk makan Nasi Padang di Restoran Simpang Raya. Pak Wan makan bersama kami walaupun pada mulanya dia menolak dan memilih untuk makan di warung biasa saja. Sekejap sahaja pekerja restoran sampai dan meletakkan pelbagai lauk pauk memenuhi meja makan. Perghhh….. pilih saja mana anda suka dan anda perlu bayar apa yang anda makan ataupun sekadar mengambil sedikit sahaja. Terdapat lebih kurang 14 lauk yang dihidangkan dan semuanya kelihatan enak-enak belaka. Dan rasanya.. memang umpphh!

Selepas makan, kami singgah ke Gedung CD yang berhampiran restoran. Suami memilih CD terbaru nyanyian Nidji, Ungu dan Ahmad Dhani. Harganya kalau duit Malaysia baru RM12, berbaloi kan.Banyak juga tempat yang kami singgah selepas itu dan suami saya yang lebih banyak membeli pakaian untuk anak kami dan dirinya sendiri.Biasanya Pak Wan akan menurunkan kami dan menunggu di kereta. Ada masanya dia melayan kami seperti orang kaya yang selalu disaksikan dalam drama Indonesia. Kami yang tidak biasa dilayan demikian kadang-kadang merasa janggal.
Kami meneruskan agenda shopping suami sebenarnya dari satu butik ke satu butik antaranya Raffless City, Glamour, Victoria, Jetset, The Secret, Stamp dan pelbagai lagi. Hampir jam 4 lebih saya hampir tidak larat lagi berjalan tetapi suami memaksa saya untuk pergi ke Paris Van Java, tempat wajib katanya. Paris Van Java merupakan sebuah shopping kompleks yang terkenal di Bandung tetapi ia bukanlah shopping kompleks yang terbesar. Menurut Pak Wan, ada lagi yang lebih besar, saya lupa nama yang Pak Wan sebut tetapi tak silap Super Mall, begitulah lebih kurang kot.
Apa yang menarik di Paris Van Java ialah adanya sepetak tanaman padi yang sedang tunduk berisi tetapi belum menguning, airnya pun masih belum kering cuma tiada ikan keli sawah je. Lintah.. yang tu saya tak pasti.

Di sini terdapat pelbagai kedai yang menjual barangan berjenama seperti yang sering ditemui di Malaysia dan ada juga Sogo dan Carrefour. Kami tidak membeli apa-apa di sini cuma meninjau-ninjau dan bergambar di sawah padi. Suami saya tiba-tiba pula hendak mencari cd dan memilih cd terbaru nyanyian Anang… cd lagi..
Destinasi terakir, kami meminta Pak Wan membawa kami ke warung kek lapis paling terkenal di sini iaitu Kartika Sari. Saya bertanyakan harga beberapa kek yang dipamerkan.. wow.. pada saya agak mahal. Kek Lapis Prune Indonesia sahaja sudah 160,000R manakala kek lapis Filipina pun 60,000R. Saiznya hanyalah lebih kurang 6cmX20cm sahaja, tapi terpaksa juga membeli sebagai oleh-oleh untuk keluarga dan kawan pejabat.
Walaupun sepatutnya kami menyewa hingga jam 9.00 malam, tetapi kami memilih untuk pulang sahaja ke hotel. Pak Wan seperti biasa tidak membantah, mungkin dia pun gembira dapat pulang awal. Seperti yang dijanjikan, suami saya membayar kepada Pak Wan dengan wang Malaysia. Kami berjanji akan datang lagi ke sini dan mengambil Pak Wan sebagai pemandu kerana puas hati dengan perkhidmatannya.
Apa yang saya perhatikan sepanjang di sini adalah penduduknya yang rajin menjalankan pelbagai perniagaan sama ada secara kecil-kecilan dengan menolak kereta sorong atau hanya menyusun barangan mereka di tepi jalan. Ada juga yang membawa barangan mereka dari seorang pelanggan ke pelanggan lain dan tidak jemu-jemu memujuk agar membeli barangan mereka.
Deretan kereta sorong yang menjual pelbagai makanan seperti aiskrim durian, baso ikan, tauhu dan sebagainya dan yang menarik pada saya adalah singkong keju tetapi saya tidak berani mencuba satu pun. Paling kecewa adalah saya tidak dapat mebeli sepasu pokok kaktus berbunga yang amat sukar ditemui di Malaysia dan kucing yang sangat comel dan cantik yang harganya cuma 25,000.
Dan di mana-mana persimpangan lampu isyarat juga ada sahaja persembahan jalanan yang dilihat sama ada sekumpulan anak muda yang bergelar pemuzik jalanan, atau sekumpulan monyet bersama tuannya memakai pakaian berwarna-warni membuat persembahan sarkis atau menari. Terdapat juga peminta sedekah berkeliaran dan akan mengetuk cermin kenderaan yang berhenti bagi meminta simpati.
Walaupun agak penat tapi pengalaman melihat kehidupan masyarakat di sini amatlah mahal. Dari saya turun tangga pesawat sehinggalah saya melangkah pulang, apa yang boleh saya katakan anda tidak akan menyesal kalau memilih untuk datang ke Kota Bandung yang mejanjikan 1001 keseronokan. Dan dalam anda shopping sakan tu jangan lupa meninggalkan sekurang-kurangnya 150,000 untuk membayar cukai lapangan terbang dan pastinya duit bagasi yang pastinya akan bertambah bila anda pulang.

perginya satu beg, pulangnya dua beg.. hehe

Tuesday, December 15, 2009

tiga hari dua malam di Kota Bandung


TEPAT jam 4.35 petang waktu Malaysia, pesawat AirAsia QZ7596 selamat mendarat di Lapangan Tentera Udara Bandara Hussein Sastranegara, Kotaraya Bandung. Waktu di Bandung awal sejam dari Malaysia, mataharinya masih terik tetapi ketibaan kami disapa angin sejuk dan cuaca baik seolah-olah meraikan kedatangan saya yang pertama kali tetapi kali kedua bagi suami. Menurut suami semasa dia datang kali pertama dulu Bandung disiram hujan. Huh, patutlah dia demam seminggu sebaik pulang dari sana.

Manakala dalam berita di TV dua tiga hari lepas pula, saya melihat kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut disambut hujan lebat. Ramalan Cuaca di internet juga menunjukkan hujan dan rebut petir akan berlaku di Bandung. Kerana itu kami turut membawa dua helai windbreaker bagi melindungi kami jika cuaca tidak menentu. Saya berdoa agar cuaca baik supaya percutian kami tidak terjejas dan agenda shopping suami tidak terbatas.

Lapangan Terbang tempat pesawat yang kami naiki mendarat ini, sebenarnya adalah kem Tentera Udara Negara Indonesia dan ia digunakan sebagai tempat mendarat bagi pesawat-pesawat yang akan mendarat di Bandung. Kedatangan kami disambut petugas-petugas lapangan terbang dengan senyuman tanda Selamat Datang. Di kaunter Imigresen, hanya terdapat dua kaunter dan pegawai Imigresen bertugas menyapa ramah walaupun di wajahnya kelihatan agak penat, mungkin kerana hari sudah petang. Tetapi bila kami pulang ke Malaysia, tahulah kami kenapa pegawai tersebut keletihan. Rupa-rupanya dia bertugas di semua kaunter, kaunter ketibaan, kaunter pelepasan dan dia juga yang mengambil semula pas ketibaan kami sebelum kami bergerak ke pesawat pulang ke Malaysia… oh, patutlah…
Selepas mengambil bagasi kami mencari petugas hotel yang berjanji akan menjemput kami di lapangan terbang. Terdapat juga dua tiga orang yang memegang tanda nama tetapi tiada satu pun yang tertulis nama suami. Dalam kami tercari-cari, tiba-tiba terdengar satu suara menyapa, “Bapak Rizar, ya?”, kami sama-sama menoleh. Seorang pemuda beruniform coklat dan tertera tanda nama Kiki di dada sedang tersenyum ramah. Di tangannya ada sehelai kertas yang tercetak nama suami saya. Kami mengangguk. Kiki terus sahaja mengambil beg besar dari tangan suami saya.“ Bapak tunggu di sini, saya ambil mobilnya,” kami mengangguk. Suami saya mengambl semula beg dari tangan Kiki kerana memikirkan dia akan berjalan jauh ke tempat letak kenderaan.
Kira-kira lima minit, Kiki sampai dengan kenderaan mewah tertulis Arion Swiss-Belhotel. Wow.. saya dapat merasakan satu pengalaman indah akan menanti saya sepanjang tiga hari di sini.
Arion Swiss-Belhotel, Bandung merupakan hotel butik terbaik di Kota Bandung. Lokasinya terletak di dada Kota Bandung dan kira-kira dua jam perjalanan dari Jakarta menggunakan jalanraya bertol serta berdekatan dengan pelbagai kemudahan membeli belah di butik-butik ternama, makanan dan restoran yang pelbagai pilihan serta pusat hiburan. Hanya lebih kurang 10 minit menempuh jalanraya yang sesak dengan kenderaan yang dipandu rapat-rapat , akhirnya kami sampai di hotel tersebut.
Saya mengambil kesempatan meninjau sekitar lobi hotel dengan mata ketika suami mendaftar masuk di kaunter hotel. Tidak sampai lima minit, kami telah diberi kad bilik berserta baucer untuk minuman Selamat Datang dan sarapan pagi serta agak terkejut kerana hotel ini turut memberi baucer untuk makan malam. Ini kerana ketika pengesahan tempahan bilik melalui internet, kami cuma diberikan pakej penginapan termasuk sarapan pagi sahaja. Suami memberikan cenderahati yang kami bawa dari Malaysia untuk beberapa petugas hotel yang kami temui di kaunter tersebut.
Kami menaiki lif untuk ke bilik di tingkat 3. Bilik kami terletak di hujung sekali. Saya membaca Bismllah ketika suami memasukkan kad dan membuka pintu bilik. Wah… walaupun hanya Deluxe Room, tetapi biliknya agak mewah dengan katil bersaiz raja. Dan paling saya suka sekali pihak hotel turut menyediakan komputer dengan kemudahan internet dan kami telah disahkan penggunaan internet adalah percuma 24 jam. Memang syok betullah.
Perjalanan seharian kami yang meletihkan tidak memungkinkan saya untuk berehat kerana suami saya ada agendanya sendiri. Apalagi kalau bukan shopping sebab itu memang hobi dia mengalahkan saya. Selepas melakukan perkara-perkara yang sepatutnya, kami pun turun untuk menikmati minuman Selamat Datang. Kami menunggu teksi yang telah ditempah Kiki. Agak lama menunggu, akhirnya kami diminta turun ke tempat parkir kerana teksi sudah menunggu. Sebaik bergerak, pemandu teksi itu menekan punat meter, tertera 6000 iaitu kira-kira RM2 wang Malaysia.
Sepanjang perjalanan, pemandu teksi itu agak ramah berbual. Dia turut memberi cadangan tempat-tempat tertentu jika hendak membeli pakaian yang murah. Saya kurang melayan berbanding suami kerana kecut perut memerhatikan cara pemandu di kota ini. Mereka sesuka hati membelok dan keluar dari simpang serta menukar lorong. Yang hendak melintas, angkat tangan tinggi-tinggi dan terus melintas. Yang naik motor pun sama mencilok, tapi tiada mat rempit pulak. Agaknya mereka ni tulang besi uratnya dawai.
Kami turun di hadapan sebuah bangunan kedai tertulis Heritage, meter teksi menunjukkan 16,700@ RM6. Walaupun waktu di Bandung baru 6.00 petang tetapi sudah gelap. Suami menarik tangan saya masuk ke bangunan tersebut. Memang macam bangunan warisan pun. Tetapi bila masuk ke dalam saya jadi keliru, macam butik, macam rumah dan macam pub pun ada. Dan kebanyakan kedai di situ mempunyai konsep yang berlainan tetapi agak menarik jika dibandingkan di Malaysia. Kebanyakan butik di sini menawarkan pelbagai pilihan berjenama terkemuka dengan harga yang mengagumkan. Kami pergi juga ke terminal tas, yang menjanjikan pelbagai pilihan beg tangan dari pelbagai jenama.
Yang menariknya, tiada satu pun shopping kompleks di kawasan ini, kebanyakannya adalah bangunan kedai yang besar dengan pelbagai rekabentuk dan lampu berwarna-warni sehinggakan saya keliru yang mana satu kedai, yang mana satu pusat hiburan. Tapi kebanyakannya adalah kedai dan ketibaan kami disambut oleh gadis-gadis manis yang mengucapkan Selamat Datang sambil merapatkan tangan ke dada.
Kira-kira jam 9.00 malam, saya sudah benar-benar keletihan. Saya memujuk suami agar pulang saja ke hotel. Kami menahan teksi tetapi kali ini pemandu teksi tdak mahu menggunakan meter. Dia meminta kami membayar 45000. Suami menawar, 30000. Dia meminta 35. Kami terus saja bersetuju. Sememangnya pemandu teksi di sini ramah-ramah, fikir saya kerana sepanjang perjalanan ada saja yang hendak dibualkannya.
Sebaik sampai di hotel, kami terus menuju ke Swiss Café untuk menikmati makan malam. Pelbagai pilihan lauk pauk ala Sunda disediakan untuk tetamu hotel malam itu. Saya yang selalunya jarang makan malam dengan selamba makan tanpa memikirkan diet kerana kali terakhir saya makan ialah pada pukul 10.30 pagi di rumah Abang Long. Sambil makan kami berborak tentang keseronokan shopping tadi. Suami memberitahu tentang rancangannya esok. Tapi suami memang sudah beritahu tempat pelancongan seperti Tangkuban Perahu, Punchak dan ladang teh tidak termasuk dalam senarai lawatan. Suami berjanji akan membawa saya bersama-sama anak kami pula nanti.. wow, macam banyaknya duit nak pergi lagi sekali.
Apa yang menarik di hari kedua , yang tu akan saya ceritakan pada blog yang akan datang.. InsyaAllah..

Jom Pi Bandung


BARU-BARU ini saya telah dipaksa untuk mengikut suami saya makan angin ke Bandung, Indonesia. Hehe, kenapa dipaksa yek? Sebabnya sebenarnya dah banyak kali suami saya mengajak saya melancong ke Indonesia, sama ada Bandung atau Medan, tetapi saya selalu menolak. Kenapa? Entahlah, saya ni agaknya terlalu terpengaruh dengan cerita-cerita tentang negara Indonesia. Saya selalu takut kalau-kalau nanti saya akan diculik atau dirampok di sana.. kahkahkah.. memang saya penakut. Sebab itu kalau saya pergi ke sempadan negara di utara, atau ke mana-mana sajalah saya akan kepit anak saya kuat-kuat dan tak akan biar dia berjalan sendiri. Kecuali jika kami dah biasa dengan tempat tersebut.
Jadi,bila suami mengajak lagi, saya sudah terfikir macam-macam. Tapi rancangan suami lain, kita tinggalkan Yaya dengan nenek, katanya. Perasaan saya bercampur baur, sedihnya nak tinggalkan anak yang selama ini tak pernah berenggang dengan kita. Tapi betul juga kata suami saya, Yaya ni selalu nak cepat balik kalau berjalan, lebih-lebih lagi kalau dah dapat barang yang dia nak. Jadi dari pengalaman-pengalaman sebelum ini, saya bersetuju untuk tinggalkan Yaya dengan ibu saya.
Kali ini saya bersetuju untuk pergi ke Indoesia. Petang tu, kami melayari internet untuk melihat pakej yang paling murah. Tapi ada masalah, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bandung ialah pada pukul 3.30 petang, tetapi tiada waktu penerbangan yang sesuai boleh kami ambil dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur supaya kami dapat transit di airport lebih awal. Kami melihat ada flight dari Johor Bahru ke Jakarta, tetapi perjalanan Jakarta-Bandung bukanlah singkat, kalau jalanraya sesak mahu 8 jam terkandas. Suami pula bertanya, hendak pergi Bandung ke Medan? Eh, dia ajak kita, dia tanya kita pulak. Saya memilih Bandung dan mencadangkan agar kami ke Kuala Lumpur dengan kereta dan tinggalkan kereta di rumah Abang Long, abang ipar saya.
Petang itu juga saya terus telefon Abang Long. Abang Long bersetuju dan minta saya comfirmkan balik dengannya esok petang. Esoknya, kami fikir takut menyusahkan Abang Long, jadi saya memberitahu Abang Long, saya akan tinggalkan kereta di LCCT saja. Esoknya, Along saya pula telefon. Dia menyuruh saya parking kereta di rumah Abang Long juga dan mengambil teksi ke LCCT. Saya serba salah. Saya tanya lagi dengan Abang Long. Abang Long kata dia akan hantar kami ke LCCT. Jadi keputusannya kami akan keluar dari rumah pagi-pagi buta dan terus ke rumah Abang Long di Bangi. Hmmm.. rasa macam tak sabar pula nak ke Bandung. Untuk episode di Bandung, akan saya ceritakan dalam blog yang akan datang.

Antara Sibuk & Minat

Salam, lama sungguh saya tidak menulis di ruangan ini. Itulah, konon-kononnya buat blog ni kerana nak mengasah minat tapi masa membataskan segalanya. Bukanlah kata saya ni tak ada masa langsung, cuma sepanjang cuti sekolah ni agak sibuk. Tak tahulah apa yang saya sibukkan, jadi bila ada masa terluang kepala pun dah penat dan terfikir untuk berehat saja.
Apa ye yang saya sibuk sangat.. sibuk berjalan barangkali.. hehe. Maklumlah, hujung-hujung tahun ni biasanya suami saya agak kurang sibuk, lebih-lebih lagi beliau dah pun mencapai target jualan iklan tahunannya, jadi masa inilah beliau akan bercuti agak panjang, jadi selalunya dipaksa saya bercuti sekali.
Hmmm… masa cuti memanglah seronok tapi bayangkanlah penatnya nanti bila sampai ke rumah selepas pulang bercuti. Mana nak basuh pakaian yang digunakan sepanjang bercuti, nak menyidai, melipat dan menyusun dalam almari lagi. Nak harapkan suami dan anak, lipat baju kecik bolehlah.. hehe. Tapi biasanya tugas saya sehingga melipat sahaja, bab baju kecil dan susun dalam almari selalunya masing-masing kena buat. Jadi lepas lipat tu saya tinggal, pandai-pandailah diorang nak angkat. Yang bagusnya diorang ni terus jer angkat bila saya siap lipat jadi taklah menyemak mata memandang. Kalau diorang malas tu saya ugut-ugutlah lain kali basuh baju sendiri.. huhu..
Bab mengemas rumah, saya taklah penat sangat pasal dah takde sangat orang nak menyepah rumah, maklumlah anak dah besar, sorang pulak tu. Jadi selalunya tak ada apa nak dikemas sangat, saya pun bukanlah rajin sangat nak menghias-hias rumah, mengubah perabot dan sebagainya. Apa yang ada, itulah yang saya kemas.
Lagipun rumah saya kecil saja. Biasanya bahagian yang kena kemas selalu dapurlah. Walaupun kecil tapi pening gak kepala sebab banyak sangat barang. Bila dah digunakan satu hal pulak nak disimpan balik, itulah yang paling saya menyampah sekali, tapi apakan daya, kena juga buat walaupun tak suka. Nanti tak sedap pula mata memandang.
Tinggal dua minggu saja lagi penggal persekolahan akan dibuka, maknanya kenalah pula saya mula menggosok pakaian sekolah anak tunggal saya. Bukan saya hendak memanjakan kerana tidak menyuruh dia menggosok sendiri, dah banyak kali juga dia nak cuba menggosok sendiri, tapi saya masih tak percaya dia mampu menjalankan tugas tersebut. Hmm.. mungkin kali ni saya kena lapangkan dada membenarkan dia menggosok pakaiannya sendiri. Jadi saya boleh rehat sikit..hehe.. Mana tahu, tahun depan saya pun dah boleh rehat terus dari menggosok pakaian.. harap-harapnya begitulah..

Sunday, November 22, 2009

TENGGEK AYAM PUNYA CERITA


JIKA anda bermain 'Farmville' iaitu satu permainan yang terdapat di dalam facebook, pasti anda tahu minggu ini 'Farmville' seperti biasa menawarkan siri 'limited edition' iaitu decoration dan bangunan berkonsepkan sarkis dan fun fair.
MMM... nampaknya tak terbeli jugak lah villa 1Juta coins tu walaupun saya dah layak untuk membeli kerana coins tak pernah cukup, ada saja yang nak ditambah untuk mencantikkan farm. Sebab itulah, saya pelik betul kerana ada seorang jiran farmville 'mat saleh' saya yang dah sampai level 70, yang dengarnya level terakhir dalam farmville tapi yang ada di kebunnya cuma deretan pokok peas dan beberapa biji hay bale. Langsung tiada pokok, binatang, rumah dan sebagainya. Tak tahu apa kepuasan yang dia dapat selain kini dah sampai level tertinggi dalam farmville.
Sebenarnya saya bukan nak membebel pasal farmville ni, tapi aneka bentuk decoration fun fair dan bangunan khemah sarkis ni mengingatkan saya tentang pengalaman menonton sarkis dari sebuah pertunjukan yang agak terkenal juga, iaitu London Circus.
Sepanjang beberapa kali London Sarkis membuat persembahan di Johor Bahru, saya mendapat tiga kali tiket menonton secara percuma iaitu sekali di Extra, Taman Suria, Johor Bahru (kini Giant) dan dua kali di Danga Bay.
Jemputan yang pertama masa tu anak saya kecil lagi, masih duduk dalam stroller, kami dapat tiket VIP, jadi dapatlah duduk depan sekali di atas kerusi rotan beralas kusyen macam zaman 80-an dulu. Tapi, okeylah, depan sekali, free plak tu.
Kali kedua, anak saya dah pandai berjalan. Kali ni tak dapat kerusi VIP, tapi takper, yang penting free.. haha.
Masa saya pergi menonton yang pertama ibu saya tanya, duduk kerusi macam mana? Saya cakaplah kerusi rotan yang ada kusyen boleh angkat-angkat tu. Sekejap duduk melungsur, kena betul-betulkan kusyen bagi tegak-tegak, pas tu melungsur balik.
Ibu cakap, untunglah dapat kerusi macam tu, zaman ibu dulu duduk kat bangku tenggek ayam. Peliknya.. camana rupa bangku tenggek ayam tu... Ibu cakap, bangku panjang, dibuat dari papan, macam bangku kat kantin sekolah. Oh, saya cuba membayangkan bangku di kantin sekolah lama saya.
Jadi apabila menonton kali kedua tu, kami di arahkan masuk ikut pintu tengah, mungkin belakang kot. Agak kecewa sikit sebab kali ni tak dapat tempat VIP. Kami duduk bersama-sama penonton yang membeli tiket.
Aha... rupanya inilah rupanya bangku tenggek ayam. Ia merupakan sekeping papan yang disusun berderet panjang dan bertangga. Anda akan berjalan di atas papan yang juga disusun berderet dan labuhkan saja punggung anda pada papan yang saya harap teguh sepanjang persembahan berlangsung. Awas, bahagian bawah papan yang anda duduk tiada apa-apa dan anda boleh melihat tapak khemah sarkis lebih kurang 2 hingga 3 meter tingginya.
Nak dijadikan cerita, duduk sebaris dengan kami ialah sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan anak-anaknya yang mungkin masih sekolah rendah. Mereka turut membawa seorang makcik yang tidaklah begitu tua, mungkin ibu kepada salah seorang suami isteri tersebut.
Sedang asyik menonton tiba-tiba saya terdengar si isteri memberitahu suaminya, sandal ibu mereka jatuh ke bawah. Mmm.. nasib baik saya pakai kasut masa tu, jadi agak kejaplah kasut tu di kaki.
Si suami minta tunggu sekejap. Tak lama kemudian saya nampak dia bangun menuju ke ruamg keluar. Bukan nak kepoh.. tapi apabila ada orang lalu lalang di lantai papan tu memang kita boleh rasa. Orang sebelah bergerak pun boleh rasa. Jadi apabila si suami naik dan memegang sebelah sandal di tangannya saya turut memandang. Si suami menyerahkan sandal itu kepada isterinya.
Walaupun suasana agak riuh dengan bunyi muzik yang kuat dari persembahan, tapi kerana jarak kami yang tak berapa jauh, saya dapat mendengar si isteri berkata lebih kurang begini bunyinya," Lah, bang.. ni bukan selipar mak.." Dan inilah jawapan si suami. " Manalah abang tau... banyak lagi selipar kat bawah tu.."
Hahaha.. rasa macam nak ketawa kuat-kuat tapi saya cuma menutup mulut menahan ketawa dari pecah.. saya buat-buat memberi tumpuan pada persembahan di hadapan cuma yang saya ingat si suami mengajak isterinya sama-sama turun mencari sandal mak mereka.. mmm, rupanya ramai yang pulang kaki ayam gara-gara bangku tenggek ayam tu.. wooo, sakit lor pinggang saya duk kat bangku tenggek ayam tu..

Tuesday, November 10, 2009

kering idea

MINGGU ni tak tau apa nak ditulis. Idea kering kontang & gersang. Mungkin kerana banyak kerja di pejabat. Kerja di rumah pun berlambak-lambak. Mungkinkah kerana musim hujan maka kepala otakku pun ikut beku gak. Yang pasti kepenatan...

Thursday, November 5, 2009

Cerita Seorang Guru

Email..adakala membuat kita tertawa, kadangkala boleh bergenang airmata...

Baru-baru ini saya menerima email dari seorang teman. Saya sedar email mudah dihantar kepada sesiapa sahaja. Mana yang baik, ambillah pengajaran daripadanya dan kongsilah bersama yang lain.

Cerita Seorang Guru

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.

Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan.

Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya. Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat. Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah. Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang. "Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?" Dia terkejut dan wajahnya berubah. "Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya
"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?"
"Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu." Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ......."

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu. Cerita-cerita begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara-perkara berikut;

i. Solat sunat
ii. puasa sunat
iii. berzikir
iv. bersedekah
v. mengusap rambut anak yatim
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain
vii. membantu orang susah

Wednesday, November 4, 2009

yang popular



inilah orang-orang popular yang saya temui pada malam Konsert Black Dog Bone di Persada Johor, 31 Okt 2009..

Tuesday, November 3, 2009

Malam Kenangan Bersama Black Dog Bone




TERUBAT RINDU... mungkin itu yang dapat disimpulkan apabila saya melihat begitu ramai orang lama yang datang menyaksikan konsert Malam Kenangan Bersama Black Dog Bone (BDB) di Pusat Konvensyen Persada Johor, malam minggu lalu.
Malah bukan sahaja orang lama yang mengisi kerusi berbalut kain krim keemasan tetapi ia turut dimeriahkan dengan orang muda dan remaja bagi mengimbau kenangan membesar dengan lagu-lagu dendangan BDB.
Tentulah ada bezanya melalui zaman kanak-kanak dengan lagu-lagu seperti Geram, Nasi Goreng, Anekaragam dan sebagainya berbanding melalui zaman remaja sambil bersiulan lagu Dulu dan Sekarang, Diganggu Kenangan atau Ku Cari penawar Luka serta rangkaian lagu-lagu 'frust' yang lain.
Black Dog Bone, satu nama besar kumpulan pop melayu pada era 70an. Kalau disebut pada nama, bunyinya memang nampak garang.. tapi bila mendengar lagu-lagunya, memang lentok habis. Mungkin ramai generasi baru yang pelik, termasuklah anak saya bagaimana BDB mendapat nama tersebut, sayangnya kami terlupa untuk bertanya pada sesi santai bersama BDB pada petang sebelum konsert.
Mungkin berlaku 'miss informatian' apabila tidak ramai yang datang pada sesi santai tersebut. Sehinggakan hampir semua yang mendaftar terpilih memenangi cabutan bertuah, sepasang tiket menyaksikan konsert live BDB.
Namun, saya tetap rasa bertuah, kerana nama saya adalah yang mula-mula dicabut dan saya masih ingat kata-kata Jatt Ali, penyanyi utama BDB ketika menyampaikan tiket, "Jemput datang malam ni, ya".
Pertama kali bertemu dengan anggota BDB, saya langsung tidak menyangka yang Jatt bertubuh kecil, sehinggakan beliau nampak begitu muda berbanding anggota yang lain. Walaupun kecil, tapi jangan pandang sebelah mata, tunggu konsert malam nanti.
Lebih kurang 8.00 malam saya sudah tiba di Persada. Turut bersama saya selain suami dan anak ialah Aini dan Ayu kerana kami kelebihan tiket yang dimenangi petang tadi.
Saya tidak melepaskan peluang bergambar dengan 'Papa Rock' Ramli Sarip yang turut sama memberi sokongan kepada BDB. Walaupun nampak garang tetapi Papa Rock tidak sombong dan tetap sporting untuk bergambar.
Tirai konsert dibuka dengan penampilan artis yang amat saya minati di zaman sekolah, Jay Jay yang memang awet muda dari segi rupa mahupun suara. Dengan trademark topi yang sentiasa di kepala, Jay Jay tetap cool walaupun terdapat masalah pada sistem audio. Terdengar juga jeritan nakal yang meminta Jay Jay membuka topi, dan sampai ke sudah topi beliau setia di situ.
Tujuh lagu sahaja, tak boleh lawan tauke.. dan tak sangka anak saya boleh mengikut Jay Jay mendendang lagu Permaisuri dengan begitu baik. Jay Jay menutup persembahan dengan lagu joget semput, Joget Angan Tak Sudah, fuh.. memang semput dibuatnya.
Tepukan kian gemuruh bila kumpulan BDB yang bersuit kuning cair naik ke pentas. Peminat BDB bersorak tidak sabar. Saya percaya mereka adalah peminat setia sejak zaman kegemilangan BDB hampir 30 tahun lalu.
BDB bijak memilih lagu kerana hampir semuanya bagaikan melekat di kepala. Mungkin ada lagu yang agak asing didengar tetapi boleh masuk kerana iramanya yang malar segar. Walaupun ada lagu-lagu BDB yang disadur dari lagu Inggeris, namun lagu itu bagaikan milik BDB lebih-lebih lagi Jatt bagaikan mempunyai tenaga luarbiasa dengan suara yang memukau tidak kurang juga anggota lain yang masing-masing turut menyanyi seperti Ishhar, Masrun dan Hamid. Turut menganggotai kumpulan ini adalah Michael yang sentiasa senyum dan James yang adakalanya menari lenggok 70an.
Sebagai lagenda muzik pop Melayu, BDB membuktikan bahawa kumpulan mereka yang turut mendapat jolokan 'Band Dari Boyan' masih tajam permainan muzik mereka dan mempunyai magis tersendiri.
Ternyata selain berbakat menyanyi dan bermain alat muzik, BDB turut berbakat untuk melawak, ternyata mereka memang penghibur unggul. Patutlah orang Singapura sanggup menyeberang tambak dan mengharungi kesesakan semata-mata untuk menyaksikan BDB.
Dengan iringan orkestra bimbingan penerbit dan pemuzik terkenal S Atan, BDB membawa muzik mereka yang berteraskan rhythm & blues disamping elemen funk, soul dan disko, lagu-lagu mereka begitu hidup dan mempesona dan amat unik sekali.
Sesuai dengan tema konsert Malam Kenangan BDB, konsert malam ini pastinya menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa sahaja yang datang.

Wednesday, October 28, 2009



SUDAH lama rasanya saya tidak menonton pementasan teater. Rasanya kali terakhir saya menonton Roh Semberani karya Rahimah Muda yang dipentaskan di Auditorium RTM, Johor Bahru, tahun lalu.
Dan kalau anda tinggal di Johor, anda tidak akan selalu berpeluang untuk pergi menonton teater kerana acara ini agak kurang dipersembahkan di sini berbanding di Kuala Lumpur yang saya rasa saban minggu setiap kali menyelak helaian akhbar ada sahaja pementasan dilakukan sama ada oleh persatuan teater kecil atau yang masih merangkak. Lebih gah lagi jika ada persembahan teater di Istana Budaya yang pastinya mendapat publisiti yang meluas oleh pihak akhbar dan majalah.
Sekali lagi, kali ini sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Negeri Johor, karya Rahimah menjadi pilihan untuk dipentaskan. Rahimah bukanlah orang asing bagi saya kerana kami pernah rapat sejak sama-sama mengikuti kursus kewartawanan di Teluk Mahkota, Kota Tinggi, Johor pada akhir Ogos 1996. Hubungan kakak dan adik terus terjalin sehingga hari ini di mana saya sering menjadikan beliau sebagai ikon bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang mula berkarya.
Dengan barisan artis dari Persatuan Teater KESUMA-I, Johor Bahru dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Johor, kali ini Rahimah mementaskan teater Srikandi Tanah Jauhar yang menyorot kisah silam berlatar belakang dua zaman.
Saya yang datang berdua sahaja dengan anak yang nampaknya begitu teruja kerana kali pertama menonton, memilih untuk duduk di baris hadapan di deretan kerusi bertangga auditorium dengan harapan dapat melihat dan mendengar dengan jelas apa yang berlaku di atas pentas.
Mengikut sinopsis, Srikandi Tanah Jauhar yang dipentaskan dua hari berturut-turut pada 23 dan 24 Oktober lalu di Auditorium RTM, Johor Bahru mengungkap kegigihan anak-anak muda dalam memperjuangkan maruah bangsa dan tanah air. Johor pernah memiliki wilayah yang amat luas meliputi Terengganu, Kepulauan Riau melangkaui Pahang, Singapura dan selatan Semenanjung Tanah Melayu malah Johor itu berasal daripada perkataan ‘jauhar’ yang membawa makna ‘permata’ oleh pedagang-pedagang dan pendakwah dari Timur Tengah.
Srikandi Tanah Jauhar berlatarbelakangkan dua zaman. Zaman Bongkok sekitar awal tahun 1800, digabungkan dengan latarbelakang Tun Fatimah sekitar tahun 1500. Perjuangan dengan jiwa raga, darah dan airmata dalam menegak kedaulatan tanah tumpah darah, mempertahankan idealogi sedia ada serta menghapuskan ideologi lapuk yang membebankan orang kebanyakan. Mereka menjadi lagenda kepada para pejuang masa kini. Perjuangan melalui kuasa politik diteruskan dengan mengambil semangat daripada roh-roh pejuang yang tubuhnya telah lindap di bawah lapisan tanah namun semangatnya masih mengapung tekad cekal generasi warisan masa kini.
Bongkok mewakili anak muda yang perkasa dan berani yang mendahului zamannya. Dia menegakkan keadilan sosial dan perjuangan yang dipercayai benar dengan keperkasaannya.
Sebenarnya, kerana saya selalu sangat menonton filem-filem P Ramlee sejak kecil hingga kini, apabila saya cuba menyelami watak pejuang Bongkok, saya selalu sahaja dibayangi watak Bongkok dalam Sumpah Orang Minyak sehingga adakalanya saya menjadi keliru dengan kedua-dua watak ini.
Ada juga masanya ketika menyanyikan lagu tradisional Tanjung Puteri (saya memang suka menyanyi) apabila tiba pada baris ‘pusara si bongkok di lereng bukit’ saya pasti akan membayangkan P Ramlee yang bongkok dengan bonggol di bahunya dalam Sumpah Orang Minyak. Hahaha… mungkin kerana itu watak Bongkok sukar betul hendak masuk dalam kepala saya lebih-lebih lagi agak kurang berkesan watak pejuang yang dibawakan oleh Kamaruddin Abd Rahman ini mungkin kerana kekangan masa satu setengah jam. Saya lihat Bongkok hanyalah seperti anak-anak muda yang suka bergurau dan bercerita sahaja dengan dua sahabat baiknya Awang (Mohd Yatim Abd Karim) dan Daeng Alik (Muhammad Mukmin Mohd Khamis)serta mempunyai ramai sahabat yang suka padanya.
Sekali lagi keliru, kerana dalam Sumpah Orang Minyak, Bongkok dipulaukan oleh penduduk kampung.
Di sinilah hadirnya Pak Tua (Mohd Afendi Sarban) yang menceritakan tentang Tun Fatimah kepada Si Bongkok dan kawan-kawannya.
Tidak seperti Tun Fatimah yang mana saya seperti sudah sebati dengan watak beliau yang merupakan anak kepada Bendahara Tun Mutakhir yang telah dihukum bunuh kerana dikatakan menderhaka kepada sultan. Malah bukan sahaja bapa tetapi suami yang baru dinikahi serta saudara kandungnya turut dibunuh.
Tun Fatimah (Liyana Mustafa) digambarkan walaupun dipaksa berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah (Zulkifle Abdul Majid) yang telah membunuh keluarganya tetapi beliau masih mencari ruang berjuang mengikut kemampuan keperempuanannya walaupun pada masa itu wanita dikatakan masih dicawat besi kebebasan minda dan tubuhnya . Tun Fatimah walaupun lembut tetapi cekal berani. Semangat Tun Fatimah tidak luput ditelan zaman kerana ia masih tumbuh dalam jiwa sebahagian gadis-gadis zaman ini dengan perspektif dan cara berbeza sesuai dengan perubahan zaman.
Apabila Melaka diserang Portugis, Sultan Mahmud Shah, Tun Fatimah dan pengikut-pengikutnya telah melarikan diri memudiki Sungai Johor sehingga akhirnya Sultan Mahmud Shah membuka Johor Lama yang kini terletak di Kota Tinggi.
Rahimah sendiri turut membuat penampilan khas sebagai Emas Tempawan yang muncul apabila Bongkok dalam keadaan sedih dan kesal kerana tertikam sahabat baiknya Daeng Alik.
Kini perjuangan Srikandi Tun Fatimah dan Bongkok disambung dengan perjuangan pemimpin-pemimpin-pemimpin di selatan Semenanjung Tanah Emas (Tanah Melayu). Sama seperti galuran sejarah- Johor menjadi pewaris dalam menyambung kejatuhan kerajaan Melayu Melaka. Dalam menegakkan isu-isu ketuanan dan kebangsaan, Johor masih relevan menjadi kubu terakhir medan penegakan bangsa berdaulat hingga berzaman-zaman berikutnya.
Sesungguhnya perjuangan tidak pernah mengenal zaman. Akan terus sambung-menyambung selagi bumi masih berputar, selagi manusia masih bernafas.
Akhir sekali saya ingin merakamkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pementasan ini dan juga kepada semua penaja kerana tanpa anda tentulah orang Johor kempunan menonton teater di negeri sendiri.

Sunday, October 25, 2009

MISTERI TELUR AYAM


Rumah ibu gempar lagi. Kali ini dengan penemuan 9 biji telur ayam yang diletakkan di dalam nyiru beralaskan suratkhabar dan disorok pula di bawah katil di bilik atas. Suasana agak mengelirukan kerana termasuk yang ini, sudah tiga kali kisah telur ayam membuatkan suasana rumah agak kelam kabut.
Segalanya bermula apabila ibu, Angah, Aini dan anak-anak Angah pergi ke Melaka beberapa bulan lepas. Mereka keluar bersaing dengan Abang Jamal (suami Angah) yang hendak pergi bekerja. Apabila pulang dari Melaka, ibu dapati keadaan atas meja makan tunggang langgang dengan kuah yang tertumpah di atas meja. Di atas dapur pula ada kuali yang telah digunakan untuk menggoreng telur.
Angah bertanya dengan Abang Jamal, " awak goreng telur ke bang?" Abang Jamal tak mengaku. Lalu persoalan itu dibiarkan tanpa jawapan.
Hari Khamis lepas, sewaktu mengemas di ruang tamu, Angah terjumpa sebiji telur di atas TV. TV di rumah Angah ada bahagian yang agak lekuk sedikit di atasnya membuatkan telur itu tidak akan tergolek ke bawah. Angah bertanya kepada anak-anaknya, masing-masing tidak mengaku meletakkan telur tersebut di atas TV.
Angah pening kepala, jika ada 'sesuatu' yang menumpang di rumahnya.
Dia teringat tentang telur sebanyak 2 papan yang baru dibeli sudah luak lebih 10 biji. Kebetulan hari itu Yaya datang ke rumah ibu kerana cuti Deepavali. Angah fikir, takkanlah Yaya makan telur banyak sangat. Perlahan Angah bertanya ibu, "kenapa telur macam tinggal sikit?"
Ibu menjawab, "budak2 ni satu hari makan 3 biji seorang.." ialah, pagi sekali, tengahri dan malam. Angah pelik, tapi telur itu memang banyak luaknya.
Pagi sabtu, Aini naik ke bilik atas untuk mencari speaker komputer. Sekejap saja dia sudah turun dan menghampiri ibu. Aini memanggil ibuku, mak. Begitu juga dengan Angah.
"Mak, ada telur bawah katil."
Ibu menyuruh Aini membawa telur yang ditemui itu turun. Aini tak berani. Akhirnya ibu naik ke atas. Sekejap lagi ibu membawa telur yang diletak dalam nyiru beralaskan suratkhabar yang disusun berlapis2. Angah betul-betul pening dan risau. Dia menyuruh Aini pergi mencari orang yang pandai 'menengok' bagi merungkai misteri penemuan telur kali ini.
Aini telah bersiap2 untuk keluar. Angah masih tidak puas hati. Hatinya berkata sesuatu, lantas dipanggilnya anak sulungnya Izat.
"Ni ibu nak cakap, sebelum Cik Ani pergi rumah nenek, tengok siapa yang buat telur tu, baik cakap, siapa yang letak telur tu?"
Haha... dalam tersedu akhirnya Izat mengaku dia yang meletakkan telur tersebut. Tujuannya?... sambil mengesat air mata, Izat berkata, "Izat nak tengok anak ayam... huhu.." Ha, kesiankan anak-anak zaman sekarang, tak pernah tengok anak ayam apatah lagi merasa pengalaman dikejar ibu ayam.. Aku yang mendengar cerita Angah, ketawa tak berhenti.. Dia jugalah yang meletakkan telur ayam di atas tv dengan harapan suhu panas tv akan membuat telur itu menetas. Bayangkan kalau telur itu boleh menetas, apa jadi dengan tv tersebut.
Bagaimanapun kisah kuali atas dapur tiada siapa yang dapat merungkainya..

Monday, October 19, 2009

Cuti Di Mana?


Salam,apa khabar semua, semoga di hujung Syawal ini semuanya sihat-sihat belaka. Sesiapa yang dah naik berat badan tu bolehlah plan untuk berdiet dan bersenam. Jangan dibiarkan lemak-lemak di badan anda menjadi lemak tepu ye.. hehe.

Mmm, saya nak cerita tentang pengalaman bercuti sempena Deepavali kali ni. Ini bukanlah percutian saya yang pertama tapi sebab ini blog saya yang pertama jadi percutian yang lepas-lepas tu tak termasuklah dalam senarai. Tapi kalau tiba-tiba teringat pengalaman yang menarik tu, bolehlah saya cerita kemudian.

Hmm, ada ke yang nak baca, tapi terpulanglah. Seperti niat asal saya, hanya nak meneruskan minat dalam bidang penulisan ni. Saya masih ingat seorang cikgu semasa saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Rimba Terjun, Pontian, Johor. Namanya Cikgu Salina Sulaiman. Beliau selalu memuji karangan saya. Ha, bakat tu memang dah ada sejak sekolah rendah cuma tidak dipupuk. Akhirnya terkubur sehinggalah saya menceburkan diri dalam bidang kewartawanan pada akhir tahun 1996. Tapi cuma dapat bertahan sehingga tahun 2000 apabila saya menumpukan sepenuh perhatian pada rumahtangga.

Berbalik cerita pasal percutian tadi, kali ini destinasi pilihan suami saya ialah di Swiss Garden Resort & Spa, Kuantan, Pahang. Memang pilihan suami kerana percutian kali ini ditanggung sepenuhnya tanpa saya perlu membelanjakan seposen pun. Almaklumlah.. lepas-lepas raya ni.. hihi.

Ini kali ketiga saya datang bercuti ke Kuantan. Kali ini kami lebih arif tentang jalan-jalan di sini ( kawasan pantai sahajalah). Kalau sebelum ini kami biasanya akan menghala ke bandar Kuantan dahulu tetapi kali ini kami melalui jalan pintas iaitu masuk ke simpang Tanjung Lumpur. Jadi perjalanan yang biasanya hampir 5 jam kini jadi 4 jam sahaja.

Kami keluar rumah lebih kurang pukul 7.30 pagi. Yang bestnya anak kami, langsung tak tau perancangan kami. Yang dia tahu, dia akan mengikut saya ke pejabat kerana semua beg pakaian telah dimasukkan awal-awal ke dalam kereta dan pakaian saya kemas ketika dia menonton tv di bilik saya.

Selepas bersarapan nasi lemak di Gerai Pak Usop yang terkenal di Bandar Baru Uda, kami pun bergerak. Kali ni anak saya sudah mula menghidu perancangan kami. Berkali-kali dia bertanya. Akhirnya saya menjelaskan kami akan pergi ke tempat 'kita melepaskan anak penyu dulu, ingat tak?'

"Habis, takkan tak bawa baju?" tanyanya.

Saya suruh dia menarik kerusi belakang dan melihat dalam boot kereta. Hmm, melonjak-lonjaklah dia.

Sampai di Rompin yang terkenal dengan udang galah, suamiku bertanya kalau hendak berhenti makan. Perutku masih kenyang, begitu juga Yaya. Kami mengambil keputusan meneruskan perjalanan.

Sebaik sampai di Tanjung Lumpur, kami meninjau kawasan pantai di sana yang terkenal dengan makanan laut dan ikan bakar. Kami merancang untuk makan malam di sini malam nanti.

Kami sampai di Swiss Garden lebih kurang pukul 1.00 tengahari. Proses check-in tidak sampai 15 minit dan kami diberikan kunci bilik yang mengadap laut. Selepas berehat seketika dan bersolat, kami turun ke bawah meninjau kawasan sekitar. Anakku dah tak sabar untuk terjun ke kolam. Kami memujuknya supaya turun mandi ketika cuaca redup sedikit nanti.

Suamiku mengajak mencari makanan tengahari. Haha, kerana memikirkan hendak simpan perut untuk makan malam nanti kami mengambil keputusan untuk pekena cendol dan rojak di caravan berhampiran pekan Pantai Balok.Bila terpandang bungkusan maggi, saya pun minta maggi. Yaya pula sibuk nak belanja kami makan. Bila bil dikira kembang hatinya dapat belanja kami.

Kami singgah di Natural Batik Village. Suamiku memilih beberapa helai baju kemeja batik untuk dipakai pada majlis rasmi, tapi satu sahaja yang berkenan. Saya memilih sehelai skarf dan Yaya sibuk hendakkan key-chain. Selepas membayar, kami pulang ke hotel kerana Yaya dah tak sabar nak mandi kolam.

Selepas beberapa minit kami turun ke laut. Seperti biasa Yaya memang tak suka mandi laut. Lebih-lebih lagi suami dan yaya mengadu di cucuk-cucuk binatang yang tidak diketahui maka kami pun naik dan terjun semula ke kolam.

Saya hanya turun sekejap ke dalam kolam, akhirnya tinggal suami yang melayan anak mandi. Saya lebih selesa duduk berehat sambil melayan facebook, ha.. itulah kegilaan saya sekarang.

Selepas maghrib kami menuju ke Tanjung Lumpur. Kami membuat keputusan memilih Restoran Ana Ikan Bakar Petai yang berwarna hijau kerana ramai pelanggan di situ.
Kami memilih menu sepeti biasa dan Ikan Pari Bakar Petai. Pernah dengar tak? Kami pun pertama kali dengar jadi rasa hendak mencuba.

Boleh tahanlah masakan di sini, tapi Ikan Bakar petai memang bukan taste kami.. hehe.
Harga berpatutan kot..

Sedang enak menjamu selera, tiba-tiba hujan turun selebat-lebatnya. pekerja restoran sibuk menurunkan bidai bagi mengelakkan tempias. Memandangkan tempat tersebut betul-betul di tepi pantai, kecut juga isi perut. Yaya duduk rapat dengan saya kerana takutkan petir yang sabung menyabung.

Suasana mula kecoh sedikit apabila petir yang paling kuat sehingga restoran black-out. Huhu... nasib baik ada emergency light, jadi taklah gelap sangat dan ia pulih tidak sampai 10 minit.

Kami pulang dalam hujan lebat kerana sudah tak sanggup menunggu hujan teduh. Sampai di lobi hotel, suami dan anak mengajak berehat di lobi, tetapi saya menolak kerana nak mengejar drama Nur Kasih yang berbaki setengah jam lagi. Jadi saya naik seorang meninggalkan mereka berdua.. hehe, Nur kasih punya pasal.

Belum pun Nur Kasih tamat, mereka sudah sampai ke bilik. Malam itu saya bercucuk tanam di ladang Farmville kesayangan sehingga jam mencecah angka 1 pagi.

Hari kedua di Kuantan, kami bersarapan kira-kira jam 9.00 pagi disimbah cahaya matahari. Ni semua pasal suami saya perokok orangnya jadi kami memilih makan di meja yang terletak di luar cafe.

Selepas bersarapan, kami mengambil gambar di persekitaran dan terus naik ke bilik. Suami menyuruh Yaya menyambung latihan Pemahaman dan Bahasa Inggeris. Manakala saya pula membayar hutang tidur malam tadi hingga waktu Zuhur.

Tengahari itu, kami bercadang untuk makan nasi berlaukkan gulai kawah. Lapar punya pasal, sampai saya terlupa nak ambil gambar gulai Kawah tu. Tapi ada satu cerita kecoh sebelum kami keluar apabila suami menyedari kunci kereta tak ada di mana-manapun.

Suami mula panik. Saya menyuruhnya bertenang walaupun dalam hati teramatlah risau, maklumlah kami sekarang jauhnya 4 jam perjalan dari Johor Bahru. Suami mengambil keputusan untuk bertanya di lobi jika ada sesiapa terjumpa kunci kereta. Saya meminta tolong Yaya mencari kunci.

Entah apa yang membantu apabila Yaya dengan mudah menjumpai kunci di dalam zip hadapan porch beg suami di atas katil. Kami bergegas turun, nasib baik saya ingat mencapai kad bilik. Lega rasa hati.

Selepas itu, kami terus menuju ke Gerai Gulai Kawah yang saya terpandang semasa dalam perjalanan hendak pekena cendol semalam. Menariknya di sini, gulai kawahnya dihidangkan bersama sayur pencok dan ikan kering. Memang lembut dagingnya dan tidak dicampur dengan batang pisang (seperti di sebelah utara)dan organ dalaman yang lain. Bagi sesiapa yang datang ke sini, gerai gulai kawah di sini memang banyak, tapi saya cadangkan anda makan di Gerai Gulai Kawah di sebelah kiri menghala ke Terengganu berdepan dengan Pantai Balok berhampiran dengan KFC. Ada papan tanda besar warna putih yang bertulisan merah 'Gulai Kawah'. Di depan kedai ada diletakkan banyak buah kelapa muda. Cubalah, memang puas hati.

Selepas makan kami menuju ke Sanctuary Penyu, di Cherating. Sampai di sana kami lihat tidak banyak telur penyu yang hendak ditetaskan. Tidak seperti sebelum ini di mana kami berpeluang melepaskan anak-anak penyu ke laut. Bagi anda yang nak pergi ke tempat ini, Sanctuary Penyu ini terletak bersebelahan dengan Club Med. Jangan keliru ye antara Sanctuary Inn dengan Sanctuary Penyu.

Apabila kami meninggalkan Cherating, cuaca mula gelap. Kami sempat singgah membeli keropok. Airmata Yaya bergenang kerana petir dan kilat tidak memungkinkan dia dapat berendam di kolam petang itu.

Sampai di hotel, kami melihat staf-staf hotel sedang mengarahkan agar kolam dikosongkan. Barulah Yaya lebih tenang kerana bukan dia seorang tidak boleh berendam tapi semua orang tidak dibenarkan berada di dalam kolam.

Petang itu, kami mengambil keputusan untuk membakar kalori di gymnasium. Saya berlari di atas treadmill hampir setengah jam apabila hujan mula berhenti. Saya mengajak Yaya mengambil kad pool di bilik dan terus ke kolam manakala suami meneruskan rutin di gym.

Malam itu, kami fikir nak makan di kedai mamak sahaja kerana tiba-tiba rasa nak makan makanan India. Satu-satunya restoran mamak di sini ialah Restoran Aliff yang terletak berhampiran 7eleven. Suami saya memilih untuk makan tosei dan Yaya hendak makan roti telur. Saya tiba-tiba rasa nak makan roti nan pula yang ayamnya kami ratah bertiga.

Esoknya selepas bersarapan kami melayan Yaya yang turun seorang ke kolam. Semua barang dan pakaian awal-awal telah saya kemaskan. Pukul 11 pagi saya memaksa Yaya naik. Mungkin keletihan, Yaya tidak banyak alasan.

Saya mengambil kereta di parkir sementara menanti suami menyelesaikan bayaran. Pelan asal hendak makan gulai kawah lagi dibatalkan kerana masing-masing masih kenyang.
Sampai di Pekan, kami bercadang hendak minum cendol dan makan rojak di pinggir Sungai Pekan, tapi tiba-tiba terpandang Gerai Capati. Tanpa memikir lama , kami melintas jalan dan terus memesan sekeping capati setiap seorang.

Memang tak patut, tiga keping capati dengan kari ayam yang dipotong kecil-kecil yang kalau dicantum-cantum pun masih kecil beserta milo ais, limau ais & limau suam '0' berharga RM13. Sambil menuju ke kereta kami berkata, sekali ajelah kita makan kat sini.

Kami meneruskan perjalanan dan berhenti di Endau untuk membeli sedikit udang dan ketam yang entah bila hendak memasaknya. Kami berhenti juga di Mersing membeli sedikit keropok lekor kerana tak tahu juga bila ada masa untuk menggorengnya. Kami singgah di rumah ibu menghantar keropok lekor yang dibeli tadi.
Sampai di rumah jam menunjukkan hampir 7 malam yang menjanjikan kerja rumah yang tidak pernah selesai.. hehe..

Thursday, October 15, 2009

Blog Pertama

Tengok semua orang ada blog, saya ingat saya pun nak jadi blogger juga. Tapi saya nak jadi blogger yg baik, yg tak kacau orang dan tak sentuh sensitiviti mana-mana pihak.
Just meneruskan minat menulis yang dah terkubur bersama cinta.. hehe.

AKHIRNYA IKEA TEBRAU DIBUKA

Assalamualaikum... YEAY!!  Akhirnya setelah sekian lama menunggu, Ikea Tebrau kini dibuka di Johor Bahru.  Setelah bertahun-tahun beran...