BELATED HAPPY BIRTHDAY, KAK INTAN PAYUNGKU!

Seri Kandi Tanah Jauhar
6
ASSALAMUALAIKUM...

KELENTANG Kelentung bunyi tin kosong dua biji berlainan saiz itu diheret Intan ke tepi rumah. Semua kakak-kakak sudah pergi ke sekolah. Emak di dapur tidak tahu apa yang disibukkan. Mungkin memasak untuk hidangan bak yang akan pulang makan tengahari. Atau menyediakan kuih talam kegemaran keluarga untuk kudapan petang. Anak-anak ayam berlarian ketakutan melihat Intan. Intan tergelak. 'Amboiii, kalau kena patuk dengan mak ayam baru tahu kau Intan...'

Intan mencangkung di bawah pokok. Tanah di sekeliling pokok itu sudah lapang disapu Intan. Penyapu lidi disandarkan di akar pokok yang melintang. Buaian kayu berikat tali kapal yang dibuat bak berayunan ditiup angin. Selalu Intan suka duduk di buaian sambil menyanyi dan berangan. Tapi hari ini Intan ada projek. Matahari pagi kian meninggi terlindung dengan rimbunan daun. Sedikit peluh mercik di dahi Intan lap dengan hujung lengan baju gaun.

Tangan kecil itu sibuk menggembur tanah. Yang mana kasar-kasar diperoikan. Tanah yang sudah peroi cantik dimasukkan ke dalam tin. Sehelai daun gugur di atas kepala Intan. Intan mencapai daun itu dan ditekapnya ke atas tanah dalam mulut tin. Tanah ditambah lagi biar padat. Peroikan lagi tanah lain, sumbat lagi. Peroi lagi, sumbat lagi. Intan makin seronok. Nasib baik dua tiga hari ini hari tidak hujan. Kalau tidak pasti kawasan itu akan berlopak. Kalau tanah berlopak, tak menjadilah projek khas Intan.

Tin yang sarat dengan tanah, Intan telangkupkan. Intan tepuk perlahan-lahan buntut tin. Perlahan-lahan Intan angkat tin itu. Aikkk! Tak ada apapun. Intan menonggeng menjengah bawah tin. Agaknya penuh sangat. Intan ambil ranting yang kasar dan masukkan ke celah tin. Intan pusing ranting itu keliling tin sama seperti yang selalu Intan nampak bila emak buat kek oren. Tin itu kemudian Intan telangkupkan semula ke tanah. Macam tadi, Intan tepuk-tepuk buntut tin dan angkat. Intan tepuk dahi bila semua tanah dalam tin berderai membukit hujung selipar Intan. 'Alaaaaaa... tak jadikkkk..'

Intan teringat sesuatu. Dia berlari sekejap ke pelantar. Air dalam tempayan naga dicedok ke dalam gayung. Terhuyung hayang Intan membawa air yang penuh dalam gayung. Sampai bawah pokok, air yang penuh dah tinggal tiga suku. Intan menggaru-garu kepala... hurmmm.. habis bertanah rambut Intan. Intan berdoa banyak-banyak janganlah mak turun rumah nampak Intan. Silap-silap kena berus dengan sabut kelapa asyik main tanah saja.

Intan percik-percik air dalam tanah yang diluahkan tin tadi. Intan gaul-gaul sedikit bagi lembab sama rata. Intan buat sungguh-sungguh. Dia tak mahu tanah itu berderai lagi. Padat tanah dalam tin, Intan cuba telangkupkan perlahan. Kali ini Intan lebih sabar dari tadi. Perlahan-lahan Intan angkat tin ke atas. Yey! Intan bersorak sendiri bila tengok tanah terbentuk cantik bawah pokok yang redup. Semangat Intan makin menyala. Dia mula mengisi tanah dalam satu lagi tin planta yang kecil sedikit dari tadi. Intan lembabkan tanah tu dengan air dan masukkan padat-padat dalam tin.

Jangan pecah! Jangan pecah! Intan doa banyak-banyak dalam hati. Tin penuh tanah itu ditelangkupkan atas tanah yang terbentuk tadi. Tadaaaaaaaaa!! Sekarang Intan dah ada kek hari jadi. Kek dua tingkat lagi tau. Nanti, kakak-kakak balik mesti mereka cemburu tengok kek Intan. Intan nampak bunga Seri Pagi sedang kembang di panah mentari. Bunga ungu itu dipetik berhati-hati agar tidak rosak kelopaknya. Sempat juga Intan mencapai buah letup-letup dan disuap ke dalam mulut. Manis!!

Setiap kuntum bunga itu Intan susun molek-molek di tepi kek. Sekuntum dua bunga jatuh ditiup angin. 'Hai angin... janganlah buat kek Intan macam ni,' pohon Intan. Intan kutip semula dan susun cantik-cantik.

'Urmmmm.. tinggal sekuntum ni, nak letak mana ya?'

'Urmmmm...'

'Nak letak macammana biar cantik...'

'Hurmmmm..' tiba-tiba Intan terdengar bunyi deruan air. 'Dari mana ya datang bunyi air tu?' Tanya hati Intan.

"Mak... mak... ooooo.. mak.. mak berangan ya??"

Makcik Intan terperanjat. Sekilas semua kenangan zaman kecil terbang di bawa angin. Di hadapannya, Dalili sedang tersengih-sengih sambil memegang pensil warna.

Makcik Intan tersipu-sipu. Sekuntum Peonis sebesar tapak tangan budak masih lagi dipegangnya. Kek tema peach di depan mata belum siap dihias. Agagagaga...

"Dalili nak apa?" Makcik Intan cover line nampaknya.

"Dalili nak ambil air.. lepas tu nampak mak termenung, Dalili panggil-panggil pun mak buat dekkk jer," omel Dalili. "Mak berangankan apa mak?"

"Taklah, mak tengah fikir kat mana nak letak bunga peonis ni, bukannya mak berangan..."

"Mak letak tengahlah yang besar, yang kecik-kecik mak letak tepi, kan selalu mak buat macam tu," cadangan Dalili dibalas dengan senyuman.

"Ialah Dalili, hihihi."


Peonis merah jambu itu diletakkan di tepi kek tiga tingkat itu. Dirimbunkan lagi dengan bunga-bunga lain. Indah sungguh gubahannya. Pasti setiap mata akan terpesona. Tentu pemiliknya akan merasa bangga. Kek tanah telah berganti dengan sebuah kek yang indah. Bunga Seri Pagi akan tetap berkembang dalam hatinya setiap hari.

Buat Idolaku, Kak Azlita Aziz.. Belated Happy Birthday, kak. Maaf kerana saya tak dapat mengucapkannya secara live semasa pertemuan kita tempohari. Kelu lidahku bila tubuh kecilmu tiba-tiba terpacul dari kereta, macam magik gitew.. :)))) Semoga dirimu sentiasa berbahagia selalu. Setiap impian kini bukan lagi angan-angan.

 
Adaptasi dari KISAH BENAR
Tags

Post a Comment

6Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

  1. Wahhh....cerpen itu sangat menarik. Kelllassss kak. Taraf boleh publish nie.

    Psst : Cantiknyaaa baju akak...hehehehhee. Nak gi tengok blog Kak Ita plak nie.

    ReplyDelete
  2. ya Allah.. seri.. tersedu sedan akak membaca.. memang tergambar suasana itu.. sama seperti apa yang akak alami.. Satu nukilan yang cukup besar buat akak.. terima kasih Seri.. tak tau nak kata apa lagi dah ni.. kelu lidah nak berkata-kata..
    Terima kasih sekali lagi seri..

    ReplyDelete
  3. hpp belated bday Ita. Kecik molek je orgnya di sebelah Seri. Seri..u know what I mean?....hihihi...

    ReplyDelete
  4. bestnya cerita...dpt jumpa kak ita lagi best

    ReplyDelete
  5. Ayu terharuuu

    Kak Azlita apa lagi kan. Pasti tuan diri lagi terharu.

    Kak Yusa mmg pandai abadikan 'sesuatu'

    Moga persahabatan kalian kekal selamanya

    ReplyDelete
  6. Menariknya tulisan akak. Terharu kami yg membacanya, apatah lagi 'tuan' yg dimaksudkan dlm cerpen tu..

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!